Date: Selasa, Januari 16, 2024

Majlis serahan Klinik Kesihatan (Jenis 3) dengan Kuarters, Air Putih, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang telah disempurnakan Pada 05 Jan 2024 (Jumaat). Pihak JKR dengan rasminya menyerahkan projek ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana ianya akan diterima oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.


Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid, Pengarah Kerja Raya Negeri Pulau Pinang kepada Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan) Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Zairi Bin Haji Mat Ali. Majlis penyerahan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Azman Bin Ibrahim, Pengarah Pembangunan Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang dan Tuan Massrol Nizzam bin Md Salleh , Arkitek Penguasa Kanan dari Cawangan Kerja Kesihatan,JKR Ibu Pejabat. Majlis ini turut dihadiri oleh para Pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, JKR PulaU Pinang serta JKR Ibu Pejabat.

 

Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters Air Putih, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang ini dibina berpandukan kepada lukisan PRE-APPROVED PLAN (PAP) Jenis Teja CR (Pindaan 2)  yang dilaksanakan oleh Mekar Industries Sdn Bhd selaku kontraktor utama.


Pengarah  Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang dilantik sebagai Pengawai Penguasa (PP) dan dibantu oleh Jurutera Awam Penguasa  Bangunan selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP)  selain Penyelia Tapak Bina (PTB) serta anggota pasukan yang lain.  Projek Klinik Kesihatan ini telah dimulakan pembinaannya pada pada 18 September 2019 dan telah disiapkan serta menerima Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 31 Oktober 2023

 
Projek yang merangkumi pembinaan 1 blok bangunan klinik kesihatan (2 tingkat) dan 1 blok kuarters (16 unit, 5 tingkat) ini adalah merupakan usaha KKM untuk mempertingkatkan tadbir urus bagi memastikan penyediaan penyampaian penjagaan kesihatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat. Klinik ini menyediakan perkhidmatan kesihatan dan rawatan ibu dan anak, Jabatan Pesakit Luar, perkhidmatan pergigian, farmasi, makmal, radiologi (X-ray), rehabilitasi dan lain-lain

Sebagai agensi Teknikal yang mengawalselia projek-projek Kerajaan, JKR Malaysia telah melaksanakan penyeliaan secara holistik melalui Sistem Kawal dan Lapor (SKALA) dan Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR yang mematuhi piawaian Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) berkaitan dalam sektor pembinaan.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang, pihak kontraktor projek dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.