Date: Khamis, Mei 9, 2019

Majlis Penyerahan bagi kedua-dua projek ini telah disempurnakan pada 2 Mei 2019 (Khamis), bertempat di tapak KK3 Gombak Setia, Gombak, Selangor.

Majlis ini telah dihadiri oleh YBhg. Ar. Zairul Azidin Bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan),  YBhg. Dato’ Ramlan Bin Harun, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan KKM, YBhg. Dato’ Khalid Bin Ibrahim, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, YBhg. Ir. Rahim Bin Kawangit, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, YBhg. Ir. Ruslan Bin Abdul Aziz, Pengarah JKR Selangor. YB Tuan Muhammad Hilman Din Idham, ADUN Gombak Setia dan YBhg. Dato’ Amirul Azizan Bin Rahim, Pegawai Daerah Gombak.

Majlis turut dihadiri oleh para pegawai daripada Bahagian Pengurusan Projek 2, CKK, Bahagian Perancangan KKM, JKN, PKD Gombak, JKR Selangor, JKR Gombak dan JKR Petaling.

Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Gombak Setia ini merupakan projek “Öne-Off” dengan kaedah perlaksanaan secara KONVENSIONAL dan direkabentuk sendiri oleh JKR (in-house) dengan anggaran Kos Kontrak ASAL sebanyak RM19.4 juta di mana tapak projek ini berada di lot PT 4453, Seksyen 8, Gombak Setia, Selangor dengan keluasan tapak kurang dari satu ekar (0.8 ekar). Tempoh pelaksanaan bagi menyiapkan projek ini adalah selama 3 tahun iaitu bermula pada 25hb. April 2016 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 16hb. April 2019.

Manakala satu lagi projek iaitu Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters di Puchong pula adalah projek rekabentuk Pre Approved Plan (PAP) yang dilaksanakan secara KONVENSIONAL dengan anggaran kontrak ASAL sebanyak RM 19.9 juta dan lokasi tapak projek ini adalah bersebelahan dengan Klinik Kesihatan Puchong sedia ada yang kini masih sedang beroperasi. Tempoh perlaksanaan bagi menyiapkan projek ini adalah selama lebih kurang 3 tahun juga iaitu bermula pada 15hb. Mac 2016 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 26hb. April 2019.

Tahniah dan Syabas kepada seluruh pasukan projek dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan projek ini.