Date: Isnin, Februari 26, 2024

Majlis Penyerahan Projek Siap kepada pelanggan bagi Projek Klinik Pergigian Tanjong Karang, Kuala Selangor (Fasa 2 – Kerja Bangunan Dan Kerja-Kerja Berkaitan) telah disempurnakan oleh  Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia pada 24 Februari 2024.

Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran dif-dif kehormat daripada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia iaitu :

1) Yang Berbahagia Dato' Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia
2) Yang Berbahagia Dato' Indera Dr. Nor Azimi binti Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia
3) Yang Berbahagia Dato' Ir. Hj. Badioezaman bin Ab Khalik Yang Menjalankan Tugas Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia
4) Yang Berusaha Tuan Ir. Shukri Bin Ishak, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya
 

Majlis serahan dimulakan dengan ucapan kata-kata aluan oleh Yang Berbahagia Dato' Ir. Hj. Badioezaman Bin Ab Khalik, dan seterusnya ucaptama serta penyempurnaan Majlis Penyerahan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad. Sebagai tanda ingatan majlis diisi dengan Sesi Gimik melalui penyampaian Coffee Table Book. Sesi diteruskan dengan penyampaian Dokumen Penyerahan serta Sesi Penyampaian Replika dan Cenderhati.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman dan dilaksanakan sepenuhnya di peringkat Jabatan Kerja Raya. Cawangan Kerja Kesihatan (CKK) ialah selaku Pengurus Program. Seterusnya Jurutera Daerah  JKR Kuala Selangor telah diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Penguasa untuk menyelia projek ini. Manakala Wakil Pegawai Penguasa (WPP) pelbagai disiplin adalah di peringkat JKR Negeri Selangor.

Skop projek ini melibatkan pembinaan blok bangunan utama yang menempatkan 8 buah bilik surgeri, bilik pengimejan x-ray dan bilik-bilik sokongan klinikal. Selain itu juga, terdapat sebuah bilik mesyuarat berkapasiti 30 orang dan bilik seminar berkapasiti 40 orang. Malah projek ini mempunyai ruang menunggu yang selesa berkapasiti 16 orang dengan fasilitinya mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Projek ini telah dilaksanakan oleh kontraktor Cendekia Teknik Sdn. Bhd. secara tender terbuka dengan kos projek asal berjumlah RM 13,298,171.70. Malahan projek ini berjaya disiapkan pada 29 Disember 2023 iaitu dua (2) hari lebih awal daripada tarikh penyiapan projek asal pada 31 Disember 2023.

Sehubungan dengan itu, projek ini telah mendapat penarafan 4 bintang Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) daripada CIDB serta projek ini telah juga dinilai melalui Sistem Binaan Bangunan Berindustri (‘Industrial Building System’ – IBS) dengan mencapai SKOR IBS melebihi 70%. Projek ini telah berjaya diserahkan kepada pihak pelanggan dengan  serahan 12 dalam 1 iaitu :
(a)        Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)
(b)        Lukisan Siap Bina
(c)        Perakuan Bayaran Muktamad
(d)        Sifar Kemalangan Maut
(e)        Penarafan QLASSIC
(f)        Serahan Kunci dan Manual
(g)        Sifar Kecederaan
(h)        Projek Siap Awal
(i)         Sifar Kecacatan Major
(j)         Coffea Table Book
(k)        SKOR IBS – Melebihi 70%
(l)         Serahan kepada Pelanggan kurang tiga (3) bulan selepas CPC

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini yang telah memainkan peranan penting kepada kejayaan projek.