Date: Jumaat, Ogos 10, 2018

Majlis penyerahan PROJEK KOMPLEKS MAHKAMAH KOTA KINABALU, SABAH telah diadakan pada 09 Ogos 2018 (Khamis) di tapak projek pada jam 9:00 pagi.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan b. Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YBhg. Datuk Jalil bin Marzuki, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), selaku wakil pelanggan dan seterusnya kepada YBhg. Dato' Sri Latifah Binti Hj. Mohd. Tahar, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia selaku wakil pengguna (end-user) bangunan Mahkamah Kota Kinabalu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Arif Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum, Ketua Hakim Negara, Yang Berhormat Datuk Liew Vui Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Yang Amat Arif Tan Sri Zaharah Binti Ibrahim, Hakim Besar Malaya, Yang Amat Arif Datuk David Wong Dak Wah, Hakim Besar Sabah Dan Sarawak, YBrs. Ir. Mohd Azman bin Jamrus, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku Pegawai Penguasa (SO), Pegawai – pegawai Jabatan Kerja Raya serta pihak Kontraktor.

Projek ini juga telah mencapai skor IBS sebanyak 78% yang mana telah melebihi 70% sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan. Secara tidak langsung, ini membuktikan bahawa pembinaan menggunakan komponen IBS boleh dilaksanakan di mana-mana negeri termasuklah di Negeri Sabah. Satu lagi kejayaan adalah JKR dapat menyiapkan projek yang berprestij ini dengan penjimatan kos projek sebanyak RM 1.1 juta yang mana harga kontrak asal adalah sebanyak RM 149.0 juta  dan harga kontrak setelah pelarasan adalah RM147,904,853.79.  Dalam majlis penyerahan ini juga, projek Mahkamah Kota Kinabalu telah dianugerahkan Penarafan Hijau (pHJKR) dengan memperolehi 2 Bintang.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku Pegawai Penguasa dan pasukannya, Pasukan Projek Mahkamah Kota Kinabalu selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) dan pasukan WPP Pakar yang berjaya menyiapkan projek ini bersama Sijil Perakuan Siap Kerja pada 28 hb April 2018. Selain itu, tidak dilupakan juga kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku HOPT dan semua HODT Pakar yang terlibat dalam menjayakan projek ini bermula dari peringkat perancangan sehinggalah ianya berjaya diserahkan kepada pihak Pelanggan.

Tahniah dan syabas juga kepada pihak Kontraktor, Kibaran Pelangi Sdn Bhd dan Perunding dan firma-firma perunding yang terlibat iaitu Shah Architect (Perunding Arkitek), PY Konsep Perunding Sdn Bhd (Perunding C&S), ATL Konsult Sdn. Bhd. (Perunding Mekanikal), Pem Consult (Perunding Elektrik) dan Juruukur Bahan Konsultant (Sabah) yang terlibat kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan hasil kerja yang berkualiti serta berjaya memenuhi kriteria 4 DALAM 1 iaitu :

  1. Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion, CPC);
  2. Lukisan Siap Bina (As-Built);
  3. Penyata Akaun Muktamad (Statement Of Final Account, SOFA);
  4. Sijil Menduduki (Occupation Certificate)

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan sentiasa memikul amanah rakyat demi memenuhi aspirasi kerajaan dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan mengikut kos dalam tempoh yang ditetapkan. Penyerahan projek ini merupakan kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek di JKR dalam usaha untuk menyediakan prasarana yang selesa, kondusif dan canggih seiring dengan keperluan pihak Pelanggan iaitu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).