Date: Khamis, Disember 21, 2017

Majlis Penyerahan Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Bangunan Parlimen Malaysia (Fasa 2B) telah sempurnakan pada hari Rabu, 20 Disember 2017 di Dewan Bankuet, Blok Utama, Parlimen Malaysia.  Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Hj. Abd Rashid kepada wakil Parlimen Malaysia, YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman selaku Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia.

Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Muhammad Azman bin Jamrus, Pengarah Kanan CKBA1, selaku Pegawai Penguasa Projek, Setiausaha Dewan Rakyat, YBhg. Datuk Roosme binti Hamzah, Setiausaha Dewan Negara, YBrs. Encik Riduan bin Rahmat, serta SUB Bahagian Pentadbiran Parlimen Malaysia, YBhg. Datuk Zamani bin Hj Sulaiman. Turut hadir adalah pegawai-pegawai dari Parlimen Malaysia, pasukan HOPT dan HODT Jabatan Kerja Raya (JKR), Pasukan Projek Tapak JKR, kakitangan syarikat kontraktor Trans Resources Corporation Sdn. Bhd. serta semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini. 

Dalam ucapan penerimaannya, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia telah memberikan pandangan serius berkenaan pelaksanaan projek ini yang boleh dijadikan lesson-learned dalam melaksanakan fasa-fasa seterusnya di masa hadapan.  Beliau juga memohon pihak JKR meneliti secara menyeluruh di peringkat perancangan bagi mengelakkan kenaikan kos disebabkan kesilapan rekabentuk dan perancangan.

Bangunan Parlimen Malaysia yang ikonik ini tidak sepi daripada kerja-kerja pengubahsuaian dan naiktaraf sejak disiapkan pada tahun 1963. Beberapa siri pengubahsuaian telah dilaksanakan sebelum ini, namun kebanyakannya pada skala yang sederhana dan tidak menyeluruh.  Setelah kerja ubahsuai terakhir pada tahun 2005, Bangunan Warisan yang telah berusia lebih 50 tahun ini masih diselubungi isu-isu kebocoran dan kerosakan lain.  Keadaan ini telah memaksa Kerajaan, melalui JKR untuk membuat satu kajian menyeluruh bagi mengatasi masalah tersebut.  Pada tahun 2011, Jemaah Menteri telah meluluskan peruntukan agar kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih Bangunan Parlimen Malaysia ini dilaksanakan dengan segera.  Kerja-kerja baikpulih telah dijalankan secara berfasa dan Fasa 2B ini adalah antara yang telah dirancang untuk memastikan bangunan warisan ini kekal relevan untuk 50 tahun akan datang.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman dengan kos hampir RM 191 juta. Kontraktor utama, Trans Resources Corporation Sdn. Bhd telah dilantik melalui perolehan secara Tender Terbuka Pra-Kelayakan secara Pakej.  Pembinaan telah dimulakan pada 1 Ogos 2014 dan telah disiapkan secara berperingkat pada 28 Februari 2017 dan 31 Mac 2017.  Keseluruhan skop projek telah disiapkan pada 31 Julai 2017 selepas 3 lanjutan masa diberikan.

Projek ini adalah unik kerana ia melibatkan kerja-kerja konservasi dan pemuliharaan sebuah bangunan lama, sebelum kemasan dan sistem peralatan M&E baru dapat disediakan bagi memenuhi keperluan terkini institusi Parlimen. Antara skop projek dalam Fasa 2B ini adalah:

a) Membina blok sementara bagi menempatkan pelbagai bahagian di Parlimen semasa blok utama diubahsuai;
b) Menaiktaraf Dataran Parlimen bagi menyediakan fasiliti yang kondusif semasa upacara perasmian atau sambutan tetamu negara;
c) Kerja-kerja pengukuhan struktur bagi memastikan integriti struktur sedia ada terjamin;
d) Kerja-kerja senibina dan hiasan dalaman untuk memenuhi keperluan statutori dan kehendak ruang terkini serta menggambarkan imej serta status Parlimen terkini;
e) Kerja-kerja konservasi bagi mengembalikan ciri-ciri asal rekabentuk beberapa komponen pada tahun 1963; dan
f) Kerja-kerja naiktaraf peralatan mekanikal dan elektrik menggunakan teknologi terkini agar sejajar dengan kehendak teknikal masa hadapan

Pasukan Projek JKR telah menghadapi pelbagai cabaran terutamanya melibatkan pengurusan stakeholder yang sangat prihatin dengan kualiti pembinaan dan fungsi ruang, memandangkan ianya satu projek berprofil tinggi dan mendapat perhatian dari pelbagai pihak terutamanya Ahli Parlimen.  JKR berbangga kerana masih diberi kepercayaan menjadi agensi pelaksana untuk menyediakan infrastruktur bagi sebuah bangunan ikonik negara.