Date: Selasa, Februari 21, 2023

Majlis Penyerahan Projek Membina Baru Masjid Felda Chempaka, Jengka 2, Maran Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 17 Febuari 2023 (Jumaat) bertempat di tapak projek masjid tersebut di Felda Chempaka, Jengka, Maran, Pahang.

 

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan gimik acara pemotongan riben oleh YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, DIMP., Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang bersama-sama YBrs. Puan Norliza Binti Mohamed Ali, Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Pahang selaku wakil kepada pihak pelanggan. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Tuan Haji Ahmad Nizam Bin Abdul Manan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, YBrs. Ir. Mohd Haniff bin Hasanuddin selaku Jurutera Daerah dan Pegawai Penguasa bagi projek ini, YBrs. Al-Fadhil Nik Ibrahim Bin Nik Abdullah, Qadhi Daerah Jengka, wakil Ketua Pasukan Projek (HOPT), wakil dari semua Pasukan Rekabentuk (HODT), wakil pihak kontraktor utama dan kontraktor yang dinamakan (NSC).

 

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan Piawai Masjid 800 jemaah yang direkabentuk oleh Pasukan Rekabentuk JKR Pahang. Skop projek melibatkan pembinaan bangunan utama masjid berkapasiti 800 jemaah, tandas lelaki, tandas wanita dan rumah pam.

 

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 26 bulan iaitu bermula 6 Jun 2020 sehingga 3 Jun 2022. Namun begitu, projek ini tidak dapat disiapkan dalam tempoh penyiapan kontrak asal dimana projek ini berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 yang berlaku. Berkat kesungguhan pasukan kontraktor utama iaitu Siti Solimah Construction Sdn Bhd bersama kontraktor elektrik dari Cemara Letrik Sdn Bhd dan kontraktor mekanikal dari Perniagaan Mampat Setia telah berjaya menyiapkan projek dengan jayanya dengan lanjutan masa (Extension of Time) dan disiapkan sepenuhnya dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah dikeluarkan pada 20 Januari 2023.

 

Matlamat utama pembinaan masjid ini adalah untuk memenuhi keperluan penduduk di Felda Chempaka Jengka 2 dan kampung-kampung sekitarnya  berkeupayaan menampung kapasiti seramai 800 orang jemaah bagi menggantikan masjid lama di felda tersebut.

 

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah JKR Maran selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Penyeliaan Tapak Bina JKR Maran, Pejabat Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Jengka, kontraktor-kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.