Date: Khamis, Januari 5, 2017
JKR "PELANGGAN DIUTAMAKAN, JANJI DIKOTAKAN"
-Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat-
 
Satu Majlis Penyerahan Projek Membina Kawasan Tempat Letak Kereta serta Lain-Lain Kemudahan Berkaitan di Stesen Komuter Nilai, Negeri Sembilan telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini, Khamis 5 Januari 2017 jam 3.00 petang di tapak projek tersebut.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Acara diteruskan dengan 'sign off' Dokumen Penyerahan Projek oleh Dato' Ir Hj Hamizan bin Mohd Inzan, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan, JKR kepada wakil pelanggan, En. Chan Huan Seng, Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC - agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia). Ia turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Saripuddin bin Hj. Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan tinjauan di sekitar tapak projek, seterusnya bersurai pada jam 4.30 petang.
 
Pembinaan projek ini bermula pada 22 Disember 2015 dan disiapkan dengan sempurna pada 30 November 2016 secara kaedah konvensional, dengan AD Properties Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama dan Elektrik Sri Mega Sdn Bhd sebagai sub kontraktor elektrik. Projek ini juga telah berjaya disempurnakan secara '3 dalam 1', iaitu penyerahan serentak Sijil Siap Praktikal, Sijil Akaun Akhir dan Pelan Terbina (As Built Drawings). Komponen projek ini terdiri daripada 140 tempat letak kereta termasuk 3 unit untuk OKU, tembok penahan setinggi 1 hingga 4 meter, laluan pejalan kaki berbumbung, pondok pengawal, kamera litar tertutup (CCTV) serta naik taraf persimpangan di laluan persekutuan FT3265.
 
Setinggi-tinggi perhargaan dan tahniah diucapkan kepada pasukan projek serta semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini.