Date: Selasa, March 28, 2023

Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Projek Menaiktaraf dan Memulihara Bangunan Canseri, Kediaman Rasmi dan Kuarters HBS di Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Korea Selatan telah diadakan pada 24 Mac 2023 (Jumaat) bertempat di Bilik Triti, Wisma Putra, Putrajaya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Roslan bin Tan Sri Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Khidmat Pengurusan) Kementerian Luar Negeri (KLN) selaku wakil pelanggan dan YBhg. Dato’ Ar. IDr. Azman bin Md Hashim, Pengarah Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) selaku Pegawai Penguasa Projek.

Majlis penyerahan ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Norman bin Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) KLN, YBhg. Dato' Cheong Loon Lai, Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) KLN, YBrs. Encik Shahabudeen Adam Shah, Setiausaha Bahagian Pembangunan KLN, YBrs. Ar. Abd. Shukor bin Ismail, Wakil Pegawai Penguasa (Utama), pegawai-pegawai daripada pejabat Ketua Pasukan Projek (HOPT) dan Ketua Pasukan Rekabentuk (HODT) Ibu Pejabat JKR Malaysia serta wakil kontraktor utama.

Projek ini adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), Rolling Plan Ketiga (RP3) yang dilaksanakan secara konvensional perunding dengan kos sebanyak RM12.3 juta. Skop kerja bagi projek ini melibatkan tiga (3) blok bangunan di dua (2) lokasi berbeza yang telah direka bentuk oleh syarikat perunding tempatan di Korea Selatan iaitu DWC&D CO., Ltd dan telah disempurnakan oleh syarikat kontraktor daripada Malaysia iaitu Langkasuka Point Sdn. Bhd. Konsep reka bentuk dengan gaya moden telah diterapkan dengan memberi keutamaan kepada aspek penyelenggaraan, keselamatan dan keselesaan kepada pengguna dan penghuni di ketiga-tiga blok bangunan tersebut. Tempoh kontrak pembinaan adalah selama sembilan (9) bulan yang bermula pada 25 Mei 2022 sehingga 24 Februari 2023. Projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh kontrak asal tanpa sebarang lanjutan masa dan memenuhi kriteria penyiapan 3 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC);
  2. Dokumen serahan yang lengkap; dan
  3. Penyata Akaun Muktamad (SOFA).

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Langkasuka Point Sdn. Bhd. yang berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh yang telah ditetapkan. Setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan juga kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1 dan cawangan-cawangan pakar Ibu Pejabat JKR Malaysia yang telah memberikan sepenuhnya komitmen dan kepakaran dalam memastikan segala keperluan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak perunding dan kontraktor.

Jutaan terima kasih dan penghargaan di ucapkan kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) di atas kepercayaan terhadap JKR selaku Agensi Pelaksana dalam Program Pembangunan Projek Kementerian. JKR amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh KLN dan bersedia membantu KLN dalam merealisasikan mandat, dasar dan penyampaian perkhidmatan melalui kerjasama erat sebagai rakan kongsi yang strategik.

Diharapkan dengan penyerahan projek ini, ianya dapat memberikan manfaat, kemudahan dan keselesaan kepada semua warga kerja di Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Korea Selatan.