Date: Khamis, Julai 20, 2023

 

KEMAMAN, TERENGGANU - Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi teknikal utama negara telah berjaya menyerahkan projek infrastruktur jalan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT237 (Dari Exit Chukai LPT 2 Menuju Ke FT003) Kemaman, Terengganu telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi pada 20 Julai 2023 (Khamis).

YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBhg. Datuk Ir. Hj. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya hadir mengiringi YB Menteri Kerja Raya.  Turut hadir memeriahkan majlis adalah YBhg. Dato' Ir.  Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan; Ir. Dr. Hasli bin Ibrahim, Pengarah JKR Negeri Terengganu; Tuan Nik Badlihisham bin Nik Ismail, Jurutera Awam Penguasa Kanan Cawangan Jalan, selaku Ketua Pasukan Projek (HOPT); Encik Khazani bin Abdul Wahab selaku Pegawai Penguasa Projek serta semua pegawai-pegawai pasukan projek yang terlibat. 

Projek yang dilaksanakan secara reka dan bina ini telah bermula pada 2 Mei 2017 dan berjaya disiapkan pada 13 April 2023. Skop kerja utama projek yang berharga RM192.8 Juta ini adalah:

i.          Menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 11.4 km dari piawaian R3 kepada R5;

ii.         Menaik aras jalan lebih kurang 2m tinggi di lokasi-lokasi banjir;

iii.        Membina jambatan baru di Sg. Tempurung berukuran 14m x 25m piawaian R5;

iv.        Membina jambatan tebatan banjir berukuran 14m x 313m;

v.         Menaiktaraf lima (5) persimpangan utama. (Persimpangan T126, T128, T13, Jalan Pengkalan Binjai dan Taman Alam Perdana);

vi.        Pemasangan lampu isyarat baru di persimpangan Jalan Pengkalan Binjai;

vii.       Menaiktaraf lampu isyarat sedia ada di persimpangan T126;

viii.      Pemasangan lampu jalan jenis LED yang baru di persimpangan T126, T128, T13, Jalan Pengkalan Binjai and Taman Alam Perdana;

Setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), semua ahli pasukan projek jabatan serta agensi yang terlibat atas usaha gigih dan komitmen dalam menyiapkan projek ini. Jabatan Kerja Raya sentiasa komited untuk memacu pembinaan infrastruktur negara dan memenuhi aspirasi kerajaan bagi menyediakan rangkaian hubungan jalan raya yang optimum dan berkualiti.