Date: Rabu, Julai 29, 2020

Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Utama Bandar Sri Sendayan Dan Enstek Ke KLIA Yang Melibatkan Bandar Enstek Dan Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Julai 2020 (Isnin) bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Razhiah Binti Wahab, Pengarah Kejuruteraan Pakar Geometrik dan Trafik yang menjalankan tugas Pengarah Kanan Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya Malaysia kepada YBrs. Nor Saidatul Ihshan Binti Mustapha, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Kementerian Kerja Raya Malaysia selaku wakil pihak Pelanggan.

Turut menyerikan majlis ini adalah YBrs. Tn. Ir. Shamsuddin Bin Sabri (Pengarah Kejuruteraan Pakar Perancangan dan Pembinaan Jalan, Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia), YBrs. Tn. Ir. Hj. Masri Bin Baharuddin (Pengarah JKR Negeri Sembilan), YBrs.Tn. Ir. Rahmat bin Hj. Abd Rahman (Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia), YBrs.Tn. Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid (Jurutera Awam Penguasa Kanan) selaku Ketua Pasukan Projek (HOPT) Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia, YBrs. Tn. Ir. Md Khairi Bin Yaacob (Jurutera Awam Penguasa Kanan) selaku Pegawai Penguasa, Unit Projek Khas Zon Selatan 2, Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia, YBrs. Tn. Ir. Izmal bin Ibrahim (Ketua Penolong Pengarah Jalan, JKR Negeri Sembilan) dan YBrs. Mohd Kamal bin Mohd Yusof (Jurutera Daerah Seremban, JKR Negeri Sembilan).

Turut hadir memeriahkan majlis adalah pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat JKR Malaysia, JKR Negeri Sembilan, Unit Projek Khas Zon Selatan 2, Kontraktor Tuah Usaha Sdn. Bhd. dan Perunding SMA.

Projek ini merupakan satu perancangan bagi menyokong pembangunan di Koridor Seremban Barat dan laluan ini (FT1266 & FT195) merupakan laluan alternatif untuk ke KLIA, LCCT, SIC & Putrajaya bagi trafik arah Seremban dan juga sebaliknya. Jajaran projek ini adalah bermula dari Persimpangan Bandar Enstek dan berakhir di Persimpangan Pusat Sisa Toksik, Kualiti Alam dengan panjang jalan sepanjang 12.68km.

Projek ini melibatkan kerja-kerja naiktaraf jalan dan pembinaan jalan baru mengikut Standard R5 (4 lane dual carriageway) yang merangkumi skop berikut:

  • Naiktaraf Jalan FT1266 (6.5 km)
  • Naiktaraf Jalan Taman Eka Matahari (2.5 km)
  • Pembinaan jalan baru dari Taman Eka Matahari ke Persimpangan Pusat Sisa Toksik – FT 195 (3.682 km)
  • Naiktaraf sistem saliran dan perparitan
  • Pembinaan/naiktaraf 7 persimpangan berlampu isyarat, 1 persimpangan tidak berlampu isyarat (left in left out) dan 1 pusingan U
  • Pembinaan dinding penahan dan struktur jambatan (di jajaran jalan baru)
  • Kerja-kerja elektrik (pemasangan lampu jalan & lampu isyarat)

Pelaksanaan rekabentuk projek ini adalah secara Konvensional Rekabentuk Dalaman manakala, pembinaan projek dilaksanakan secara Konvensional Perunding dan Pengawai Penguasa yang dilantik adalah Jurutera Awam Penguasa Kanan, Unit Projek Khas Zon Selatan 2, Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Projek ini telah dilaksanakan oleh Kontraktor utama dari Tuah Usaha Sdn. Bhd. Projek ini mula dibina pada 17 Februari 2014 dan telah disiapkan pada 1 April 2019. Tarikh Perakuan Sempurna Baiki Kecacatan telah dikeluarkan pada 10 Julai 2020.

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 7 dalam 1 iaitu:

1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)

2. Penyerahan Lukisan Terbina (As Built Drawing)

3. Penyata Akaun Muktamad (SOFA)

4. Pewartaan Jalan

5. Perakuan CMGD

6. Serahan kepada CSFJ

7. Penyediaan Coffee Table Book

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia, UPKZS 2, Cawangan Jalan, HOPT, HODT, Jabatan Kerja Raya Malaysia, pihak kontraktor dan pihak perunding serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang padu dalam melaksanakan projek ini.

 

Majlis Penyerahan

 

Sumber Oleh;

Bahagian Pengurusan Projek Zon Selatan

Cawangan Jalan

Ibu Pejabat JKR Malaysia