Date: Selasa, Oktober 10, 2017

Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Pelabuhan Kargo Am Dan Labuhan Pukal Kering Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi, Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Oktober 2017. Projek ini dapat disiapkan secara 3 dalam 1 iaitu penyerahan Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Bina (as-built drawing) dan Sijil Perakuan Muktamad (Statement of Final Account) di samping coffee table book.  

Majlis telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, YB Dato’ Wira Othman bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) YBhg. Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), YBhg. Dato’ Hj. Azizan Bin Nordin, Pengurus Besar Langkawi Port Sdn. Bhd., YBrs. En. Muhd Nasir Bin Abd Aziz, serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelaksanaan projek ini.

Projek adalah bertujuan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti operasi dermaga sebagai tempat pelabuhan kargo dan kapal layar. Dermaga Tanjung Lembung ini telah beroperasi sejak 15 November 1997 tidak lagi dapat menampung keperluan dan permintaan kargo yang semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Secara keseluruhan, projek ini telah mengambil kira justifikasi dan rasional pembangunan sepertimana berikut :

1.   Meningkatkan tahap keselamatan di Labuhan Kargo Am dan Labuhan Pukal Kering di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.
2.   Meningkatkan tahap keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan pelabuhan di Dermaga Tanjung Lembung.
3.   Meningkatkan imej untuk menjadi pelabuhan kargo utama di Langkawi sejajar dengan visi.
4.   Menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada pengguna pelabuhan.

Bagi merealisasikan permintaan pelanggan, rekabentuk projek telah dilaksanakan secara konvensional dalaman oleh JKR dengan kos projek sebanyak RM25,748,648.03. Kontraktor Tulane Sdn. Bhd telah diberi kepercayaan di dalam melaksanakan pembinaan projek ini.    

Skop projek melibatkan kerja-kerja penambakan laut dengan keluasan sebanyak 4,567m2 dan daratan seluas 10,233m2. Jumlah keluasan  tapak bagi projek ini adalah 14,800m2.. Pembinaan projek ini bermula pada 1 Mac 2016  dan berjaya disiapkan pada 23 Ogos 2017 melibatkan kerja-kerja labuhan pukal kering (wharf), struktur dolphin untuk tambatan kapal besar dan struktur traveller dock  untuk menaikkan kapal layar. Projek ini juga dilengkapkan dengan beacon light dan high mast dan fire hydrant.

Dengan terlaksananya projek ini, maka jaringan dan pintu perhubungan laut yang selamat, selesa dan teratur dapat diberikan kepada pengguna. Di samping dapat menarik lebih ramai pelancong dan pelabur luar, pelabuhan kargo ini terus kekal menjadi indikator penjanaan ekonomi domestik dan antarabangsa bagi perkhidmatan pengangkutan laut di Langkawi.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek CKIP, Head of Project Team (CKIP), Head of Design Team (CKIP, CKE, CKG, CKUB), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Langkawi Port Sdn. Bhd., Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Pejabat Daerah Langkawi, JKR Negeri Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Kontraktor Tulane Sdn. Bhd. dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek ini.