Date: Jumaat, Oktober 11, 2019

Pada Khamis 10 Oktober 2019 telah berlangsung Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Perumahan Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Majlis telah diadakan di Perumahan Kompleks Penjara Kajang, Selangor.

Majlis telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, turut hadir YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Sektor Bangunan, Pengarah Penjara Kajang, Pengarah Selangor dan Jurutera Daerah Hulu Langat.

Kelulusan projek menaiktaraf Perumahan Kompleks Penjara ini adalah di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Rolling Plan 1 dengan peruntukan berjumplah RM 16,628,465.81 di bawah urus selia Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Perolehan projek ini telah dilaksanakan secara tender terbuka dan konvensional dalaman dan kontraktor yang telah dilantik adalah DAMAIKON SDN BHD. Tempoh perlaksanaan adalah selama 96 minggu (22 Bulan) bermula daripada tarikh milik tapak pada 4 Januari 2018 sehingga November 2019.

Skop yang terlibat adalah menaiktaraf 4 blok asal dengan menggabungkan 2 unit rumah kepada 1 unit rumah lengkap tanpa merobohkan struktur sediaada. Konsep rekabentuk moden dan bumbung konvensional telah diterapkan dengan memberi keutamaan kepada aspek penyelenggaraan, keselamatan dan keselesaan penghuni. Di samping itu juga, terdapat binaan baru untuk Dewan, Astaka, Pencawang Elektrik dan Rumah sampah. Lain-lain kemudahan yang dinaiktaraf termasuklah taman permainan kanak-kanak, tangga penghubung antara blok bangunan, pagar blok, perabot dalaman, padang kawat, sistem perparitan dan saliran, sistem pembentungan dalaman, sistem pendawaian elektrik dan paip air dalaman.

Komitmen dan kesungguhan yang tinggi dapat dilihat pada pasukan ini dalam memastikan projek dapat disiapkan 2 bulan lebih awal daripada jadual dengan penjimatan sebanyak RM 29,000.00 daripada kos asal. Penyerahan projek ini juga adalah secara 18 dalam 1.

Dengan siapnya projek menaiktaraf ini, ianya di harap dapat memberi kemudahan dan keselesaan serta semangat baru kepada 75 keluarga pegawai yang terlibat untuk memastikan pegawai-pegawai ini dapat memberi komitmen kerja yang lebih efisen dan cemerlang dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Tahniah sekali lagi kepada Jabatan Kerja Raya Selangor, Jabatan Kerja Raya Hulu Langat dan semua pihak yang terlibat.