Date: Rabu, November 14, 2018

Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Sistem Penyaman Udara Berpusat Serta Lain Lain Peralatan Berkaitan Di Jabatan Kimia Ibu Pejabat, Petaling Jaya, Selangor telah berlangsung dengan jayanya pada 13 November 2018, Selasa bertempat di Auditorium, Aras 1, Bangunan Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya,Selangor.

Penyerahan projek telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid. Sesi menandatangani sijil penyerahan projek di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kimia Malaysia telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Zulkifli bin Abdul Rashad selaku Pegawai Penguasa Projek yang mewakili Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) dan Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, YBrs. Pn. Hajah Rosnah binti Awang yang mewakili Jabatan Kimia Malaysia.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Pengarah Kanan CKM, YBhg. Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, YBrs. Ir. Hj. Ismail bin A Rahman, Pengarah Khidmat Pakar CKM serta Pengarah Urusan Misi Dutamas Sdn. Bhd.

Projek ini telah berjaya diserah kepada pihak pelanggan secara ‘3 dalam 1’ iaitu lengkap dengan dokumen Perakuan Siap Kerja (CPC), Lukisan Terbina dan Manual Operasi & Senggaraan (O&M) serta Penyata Akaun Muktamad (SOFA). Selain itu, projek ini juga telah mencapai beberapa kejayaan lain iaitu berjaya disiapkan dalam tempoh 5 bulan dan 3 hari yang mana 27 hari lebih awal dari jadual serta dengan penjimatan kos projek dan elemen cekap tenaga.

Skop pembinaan bagi projek ini melibatkan perkara-perkara seperti berikut:

1-         Kerja-kerja penggantian dua (2) unit Water Cooled Chiller, Chilled & Condenser water pump, Main Switchboard, Air Handling Unit,
2-         Membaikpulih unit menara penyejuk, kerja-kerja perpaipan di dalam chiller plant room termasuk menguji dan mentauliah keseluruhan sistem water cooled chiller di Jabatan Kimia Malaysia Ibu Pejabat.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JKR, Jabatan Kimia Malaysia dan pihak kontraktor serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan projek ini.