Date: Jumaat, Januari 3, 2020

Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Cadangan Pembinaan Semula Dan Menaiktaraf Sekolah Daif di Sekolah Membedai Labuan ini telah berlangsung dengan jayanya pada 19 Disember 2019 (Khamis) bertempat di Bilik Darjah Sekolah Kebangsaan Membedai, Wilayah Persekutuan Labuan. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Hj. Ibrahim Bin Esa, Pengarah JKR WP Labuan kepada YBrs. Cornelea Grace Godon, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis ini juga dihadiri oleh Pegawai-pegawai Kanan dari Pangkalan Udara Labuan, JKR WP Labuan  dan guru-guru dari Sekolah Kebangsaan Membedai, Wilayah Persekutuan Labuan serta kontraktor.

Projek Menyiapkan Baki Kerja Cadangan Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah IBS Di Semenanjung Malaysia (FASA 1) Tahun 2018- Wilayah Persekutuan Labuan- Pakej 1 (SK.MEMBEDAI) ini mula dibina pada 04 Julai 2019 dan telah disiapkan pada 06 Disember 2019 yang lepas dengan kos  RM 1,177,345.15.

Pelaksanaan pembinaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman, iaitu dengan menggunakan IBS (Intelligent Building System) mampu disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat. Ini kerana komponen IBS adalah lebih ringan, mudah dikendalikan dan kerja pemasangan yang lebih cepat.

 

Pembinaan sekolah ini melibatkan pembinaan yang dilengkapi dengan beberapa komponen utama iaitu:-

  1. 1 Blok 2 Unit Bilik Darjah;
  2. 1 Blok 1 Unit Bilik Sains;
  3. 1 Blok 8 Unit Tandas.
  4. Kemudahan Sokongan seperti:
  1. Menara Tangki Air,
  2. Tangki Sistem Penuaian Air Hujan,
  3. Laluan Berbumbung,
  4. Perabot Bina Dalam Bilik Sains dan Perabot Terlerai (loose furniture) untuk Bilik Darjah dan Bilik Sains serta
  5. pemasangan pagar jenis anti-Climb

 

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 3 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 6 Disember 2019;
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA); dan
  3. Penyiapan As Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual

 

Matlamat utama pembinaan sekolah ini adalah untuk menyediakan ruang dan kemudahan tambahan kepada murid Sekolah Kebangsaan Membedai yang dapat memberi persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa kepada guru-guru dan murid-murid.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Pendidikan, HODT, JKR Wilayah Persekutuan Labuan, pihak kontraktor utama iaitu Remt Utama Sdn Bhd. dan semua pihak pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.

 

Berita oleh:

Bahagian Bangunan

JKR WP Labuan