Date: Khamis, March 9, 2023

Majlis Penyerahan Projek Siap kepada pelanggan bagi Projek Menyiapkan Baki Kerja Kesihatan (Jenis 3) Pauh, Perlis telah berlangsung dengan jayanya pada 7 Mac 2023 (Selasa) bertempat di Klinik Kesihatan Pauh, Perlis.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya Malaysia, YBrs. Ir. Hj. Rahmat Bin Hj. Abd. Rahman kepada Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan) Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Tuan Wan Hashim Bin Wan Rahim. Majlis penyerahan ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Dato’ Zamzuri Bin Abdul Aziz.

Pada majlis ini, diadakan upacara menandatangani Sijil Penyerahan dan Penerimaan Projek oleh YBrs. Ir.  Mohd Shahril Bin Mohd Said, Pengarah Kerja Raya Negeri Perlis selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Tuan Wan Hashim Bin Wan Rahim, Setiausaha Bahagian Kanan Pembangunan yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya Malaysia, YBrs. Ir.Hj. Rahmat Bin Hj. Abd. Rahman. YBrs. Ir. Shukri Bin Ishak (Menjalankan Tugas Pengarah) Cawangan Kerja Kesihatan, Ibu Pejabat Jkr Malaysia, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Dato’ Zamzuri Bin Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bin Bohari.

Majlis diteruskan dengan penyerahan replika bangunan YBrs. Encik Syed Mohd Hapes Bin Sallehhudin, Pengarah RSM Builders Sdn.Bhd. kepada TKPKR Sektor Bangunan dan seterusnya kepada Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan) Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai simbolik penyerahan bangunan Klinik Kesihatan Jenis (3) Pauh ini.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman dan secara Pre-Approved Plan (PAP) yang mana rekabentuk bangunan yang tersedia dan lengkap dengan input seni bina, struktur, mekanikal, elektrikal dan ukur bahan yang menepati keperluan teknikal dan perundangan kerajaan iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Untuk makluman juga, Cawangan Kerja Kesihatan (CKK) selaku Pengurus Program dan HOPT adalah di peringkat Pasukan Projek Persekutuan Negeri Perlis seterusnya Pengarah JKR Negeri Perlis telah diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Penguasa untuk menyelia projek ini. Manakala HODT yang terlibat adalah daripada Pasukan JKR Negeri Perlis yang terdiri daripada Bahagian Arkitek, Bahagian Ukur Bahan dan Kontrak, Cawangan Kerja Elektrik dan Cawangan Kerja Mekanikal.

Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor RSM Builders Sdn Bhd secara tender terbuka. Tempoh pembinaan projek adalah selama 17 bulan iaitu bermula dari 14 Julai 2021 hingga 13 Januari 2023. Walau bagaimanapun projek ini dapat disiapkan pada 30hb Disember 2022 iaitu 14 hari awal daripada tarikh siap asal setelah melalui tempoh-tempoh pembinaan dalam fasa perintah kawalan pergerakan disebabkan Pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada semua termasuk industri pembinaan.

Skop kerja yang terlibat adalah:

a)      Kerja bangunan  

  • Bangunan Klinik Kesihatan (Jenis 3)
  • Bangunan Kuarters 16 unit

b)      Blok sokongan :

  • Rumah Pam
  • 2 buah Stor Sokongan
  • Pondok Pengawal
  • Rumah Sampah

c) Kerja -kerja infra dan lain-lain yang berkaitan

Projek ini juga telah berjaya disiapkan mengikut KPI serahan 3 dalam 1 iaitu :

  1. Sijil Perakuan Kerja Siap (CPC) ,
  2. Lukisan Siap Bina ; dan
  3. Penyata Akaun Muktamad – SOFA

Disamping nilai tambah yang lain iaitu :

  1. Siap awal dari jadual
  2. Tiada kemalangan
  3. Q-Lassic
  4. Dokumen Coffee Table
  5. Zero Major Defect
  6. Dokumen Penyerahan

10.Tiada Lanjutan Masa (EOT)

 

Projek ini juga telah berjaya mencapai markah cemerlang iaitu 71% dalam quality assessment system for building construction works (Q-Lassic) yang dilaksanakan oleh pihak CIDB.

Tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor yang telah berjaya menyiapkan projek ini dan diserahkan kepada pihak pelanggan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada HOPT iaitu Cawangan Kerja Kesihatan Malaysia, HODT daripada cawangan-cawangan pakar JKR Malaysia, Pasukan Projek JKR Perlis serta kontraktor utama yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini.