Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Tertinggal Bagi Meroboh dan Membina Semula Bangunan Auditorium di Atas Sebahagian Lot 60016 (Asal Lot 2359 & 2360) Mukim Ulu Melaka, Daerah Langkawi, Kedah Darul Aman telah berlangsung dengan jayanya pada 15 Ogos 2022 (Isnin) bertempat di Bangunan Auditorium Kota Mahsuri, Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman.
Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Rahmat bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Jabatan Kerja Raya Malaysia dan YBrs. Tuan Haji Zairi bin Haji Mat Ali, Setiausaha Bahagian Dasar Saraan & Pengurusan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) serta YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Majlis bertambah berseri dengan kehadiran YBrs. Tuan Mohammad Zaini bin Mohamud, Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, YBrs. Encik Samsuri bin Haji Maslan, Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1, YBrs. Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah, Jurutera Daerah JKR Langkawi dan YBrs. Tuan Haji Zainuddin bin Mahmud, Pengarah Urusan Maju Merge Resources Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama. Majlis tersebut turut dihadiri pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Turut hadir memeriahkan majlis adalah pasukan dari Head of Project Team (HOPT), JKR Negeri Kedah serta tidak terkecuali dari JKR Daerah Langkawi.
Pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman di mana Cawangan Kerja Bangunan Am 1 telah dilantik selaku Pengurus Program dan Bahagian Pengurusan Projek 5 pula selaku HOPT. Reka bentuk bangunan telah dilaksanakan oleh tenaga-tenaga pakar JKR sendiri yang terdiri dari pasukan HODT Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Cawangan Kontrak Dan Ukur Bahan, Cawangan Kejuruteraan Geoteknik dan Cawangan Alam Sekitar Dan Kecekapan Tenaga. Keunikan bangunan ini adalah dengan bumbungnya yang besar dan tinggi yang mana struktur bumbung telah direka bentuk oleh JKR. Pembinaan projek ini telah dipertanggungjawabkan kepada Pengarah JKR Negeri Kedah selaku Pegawai Penguasa dan Jurutera Daerah Langkawi pula selaku Wakil Pegawai Penguasa. Perolehan projek telah dilaksanakan secara tender terbuka dan syarikat Maju Merge Resources Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai Kontraktor Utama dengan kos projek sebanyak RM6,988,682.00. Projek telah bermula pada 10 Jun 2020 dan siap sepenuhnya pada 31 Mei 2022.
Matlamat utama auditorium ini dibina adalah untuk mempersembahkan warisan sejarah keunikan Pulau Langkawi sejajar dengan hasrat kerajaan mempromosikan sejarah Pulau Langkawi sebagai satu produk pelancongan. Kini terbinalah bangunan auditorium yang direka bentuk berdasarkan konsep “history will repeat itself”, yang menjadikannya sebagai salah satu tarikan untuk pelancong yang berkunjung ke Makam Mahsuri dan seterusnya dapat meningkatkan industri pelancongan di Pulau Langkawi. Bangunan auditorium ini terdiri daripada dua (2) komponen utama iaitu:
- Bangunan auditorium yang mengandungi ruang auditorium, pentas dan pejabat; dan
- Rumah Guru Silat yang dibaikpulih mengikut reka bentuk asal.
Dalam usaha pihak JKR memberikan produk akhir kepada pelanggan, penambahbaikan dalam pengurusan projek sentiasa diberi penekanan dan perhatian yang khusus. JKR sentiasa berusaha dalam memenuhi keberkesanan pengurusan projek dengan menambahbaik pencapaian agar projek yang dilaksanakan JKR dapat disiapkan memenuhi kriteria 3 dalam 1. Projek ini berjaya disiapkan dan diserahkan secara 7 dalam 1 iaitu:
- Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 31 Mei 2022;
- Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
- Penyiapan As Built Drawing;
- Operation & Maintenance (O&M) Manual;
- Penjimatan perbelanjaan projek;
- Zero Lost Time Injuries (LTI); dan
- Zero Major Defects.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada JKR Negeri Kedah selaku Pegawai Penguasa dengan kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada Pasukan HOPT dan HODT, JKR Daerah Langkawi, komitmen yang baik dari Maju Merge Resources Sdn. Bhd. dan juga daripada pihak pelanggan iaitu Kementerian Kewangan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.
- 1685 bacaan