Date: Jumaat, Januari 19, 2024

Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Projek Meroboh Dan Membina Semula Kemudahan Jeti Pendaratan Pelancong Di Gua Cherita, Langkawi, Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 17 Januari 2024 (Selasa) bertempat di Geopark Discovery Centre, Langkawi.

 

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Majlis bertambah berseri dengan kehadiran YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal Bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan & Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), YBrs. Ir. Waznah binti Abdul Aziz, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), YBrs. Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah, Jurutera Daerah JKR Langkawi selaku Pegawai Penguasa dan YBrs. Tuan Zainoor Liza Bin Mohamed Nadzri, Pengarah Urusan Tricyrsmasa (M) Sdn. Bhd. selaku Kontraktor Utama.

Pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman di mana Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan telah dilantik selaku Pengurus Program. Reka bentuk jeti penghubung ini telah dilaksanakan oleh tenaga-tenaga pakar JKR sendiri yang terdiri dari pasukan HODT Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan dan Cawangan Kejuruteraan Geoteknik. Pembinaan projek ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jurutera Daerah Langkawi selaku Pegawai Penguasa dan Jurutera Bangunan JKR Langkawi pula selaku Wakil Pegawai Penguasa. Perolehan projek telah dilaksanakan secara tender terbuka dan syarikat Tricyrsmasa (M) Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai Kontraktor Utama dengan kos projek sebanyak RM 4,304,821.58. Projek telah bermula pada  19 November 2020 dan siap sepenuhnya pada 13 November 2023. Dengan siapnya projek ini, ianya dapat memberi kemudahan dan keselesaan serta meningkatkan tahap keselamatan kepada semua penduduk mahupun pelancong.

Untuk makluman, projek ini juga telah berjaya siap dan serah secara 3 dalam 1 yang merangkumi kriteria berikut:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC);
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
  3. Penyiapan As Built Drawing;

Projek ini juga telah menempa beberapa kejayaan lain, antaranya:

  1. Operation & Maintenance (O&M) Manual;
  2. Zero Lost Time Injuries (LTI); dan
  3. Zero Major Defects.

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini yang telah memainkan peranan penting kepada kejayaan projek.