Date: Khamis, Disember 31, 2020

Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi Projek Naiktaraf Dan Membaikpulih Bangunan Parlimen Malaysia (Fasa 2C1) telah diadakan pada 30 Disember 2020 (Rabu) bertempat di Lobi Blok Bangunan Sementara, Parlimen Malaysia pada jam 12.15 tengahari.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Haji Sulaiman kepada Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YBhg. Datuk Kamis bin Samin, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia.

Majlis ini turut dihadiri jemputan yang terdiri daripada:

  1. YBrs. Encik Mohamad Fikri bin Romli, Jabatan Perdana Menteri,
  2. YBrs. Tuan Nizam Mydin bin Bacha Mydin, Setiausaha Dewan Rakyat,
  3. YBrs. Tuan Muhd Sujairi bin Abdullah, Setiausaha Dewan Negara,
  4. Pengarah-Pengarah Cawangan, Ar. Nik Ainun Zanariah binti Nik Abdul Rashid (Caw. Arkitek), Ir. Hajah Atikah binti Abdul Hamid (CKAS), Ir. Husin bin Mustafa (CKE), Ir. Suhaili bin Mansor (CKM), Sr. Hj.  Mohd Yusof bin Othman (CKUB), Puan Nazura binti Zainudin @ Zainol (Mewakili CKBA1)
  5.  YBrs. Ir. Dr. Hasli bin Ibrahim, Pasukan Projek Parlimen, selaku Wakil Pegawai Penguasa (Utama), mewakili YBhg. Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz, Pengarah Kanan CKBA1, sebagai Pegawai Penguasa.
  6. YBrs. Tuan Mohammad Haris bin Hassan, Pengarah Urusan Ambang Perantau Sdn. Bhd, selaku Kontraktor Utama projek ini.
  7. Pegawai-Pegawai Kanan Parlimen Malaysia,
  8. Pegawai-Pegawai Kanan JKR, serta
  9. Pasukan Projek Tapak Parlimen, JKR.

Kehadiran yang terhad ini diperlukan bagi mematuhi prosedur SOP yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuatkuasa.

Projek ini merupakan projek di bawah seliaan, Bahagian Pengurusan Projek 4 (BPPP4), Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku Pengurus Program. Pelaksanaan pembinaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman, iaitu dengan menggunakan kepakaran Arkitek, Jurutera-jurutera serta Juruukur Bahan JKR Malaysia selaku Pasukan HODT. Pasukan Projek Parlimen pula telah dipertanggungjawabkan untuk menyelia projek ini di tapak bagi memastikan kualiti projek ini pada tahap yang tertinggi.

Skop kerja Projek Parlimen Fasa 2C(1) ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf dan ubahsuai di Blok Bangunan Sementara Parlimen, antaranya ialah skop kerja preliminaries, kerja forensik dan pembaikan struktur, kerja kemasan Arkitek, kerja Elektrikal (LV, ELV, dan ICT), kerja Mekanikal (pengalihan dan pemasangan sistem/unit penghawa unit), dan kerja pemasangan papan tanda dalaman baru. Pelaksanaan projek bermula pada 08 September 2020 dan telah berjaya disiapkan pada 30 Disember 2020, iaitu 7 hari awal dari tarikh siap asal, iaitu pada 07 Januari 2021.

Projek ini dikategorikan siap dengan Enam (6) Dalam Satu (1) iaitu;

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion, CPC) – tarikh CPC 30/12/2020;
  2. Tarikh Serahan Projek kepada Pelanggan serentak pada tarikh CPC – tarikh serahan 30/12/2020;
  3. Projek Siap Awal – tarikh siap asal 07/01/2021, tarikh siap sebenar 30/12/2020;
  4. Lukisan Siap Bina (As-Built Drawings) dan Operation & Maintenance Manual (OMM) – siap pada 29/12/2020;
  5. Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account, SOFA) – SOFA disediakan bersama CPC;
  6. Penjimatan Kos Kontrak sebanyak 9% daripada kos Kontrak Asal).

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek JKR yang terlibat secara langsung, Bahagian Pengurusan Projek 4 (HOPT), Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Pasukan-Pasukan Rekabentuk (HODT JKR) yang telah membuktikan bahawa JKR tetap relevan selaku badan teknikal utama negara ini, pihak Kontraktor dan semua pihak serta Agensi yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya dan mutu kerja yang sangat membanggakan.