Date: Isnin, Oktober 8, 2018

Majlis Penyerahan PROJEK PEJABAT KASTAM KOTA KINABALU, SABAH telah diadakan pada 4 Oktober 2018 (Khamis) bertempat di tapak projek pada jam 3.00 petang.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YBhg. Dato' Sri Subromaniam Tholasy, Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaku wakil pengguna (end- user) bagi bangunan Pejabat Kastam Kota Kinabalu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Ir. Haji Amiruddin Bin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, YBhg. Dato’ Siti Fatimah Binti Daud, Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Kementerian Kewangan Malaysia, Pegawai –Pegawai Kanan dari Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia, pihak kontraktor serta pihak perunding.

Dalam ucapan YBhg. Dato’ Sri KPKR, beliau menyatakan bahawa bangunan Pejabat Kastam yang dibina ini boleh dijadikan benchmark bagi pembinaan bangunan yang memerlukan rekabentuk seismik kerana ia merupakan bangunan Kerajaan yang pertama dibina dengan mengambilkira rekabentuk seismik iaitu tahan risiko gegaran gempa bumi.

Skop utama bagi projek ini adalah terdiri daripada komponen bangunan seperti berikut:

  1. Bangunan menara pejabat setinggi lapan (8) tingkat untuk menempatkan 297 kakitangan;
  2. Dewan serbaguna yang boleh memuatkan 500 orang;
  3. Astaka; dan
  4. Lain-lain kemudahan sokongan seperti bangunan mekanikal dan elektrikal, rumah pengawal, rumah sampah, sistem rawatan kumbahan dan parkir kenderaan yang boleh digunakan sebagai padang kawad.

Projek ini berjaya diserah kepada pihak pelanggan secara 4 Dalam 1 iaitu :

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC);
  2. Sijil Layak Menduduki Bangunan (Occupancy Certificate) yang diperakukan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada 14 September 2018;
  3. Penyiapan Perakuan Muktamad (SOFA); dan
  4. Penyiapan As Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual.

Selain daripada itu, projek ini juga telah diperakukan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dua (2) hari lebih awal dari tarikh siap sebenar dengan pengurangan kos hampir RM4 juta. Pihak pelanggan amat berpuas hati dengan prestasi JKR selaku agensi pelaksana bagi projek tersebut.

JKR selaku agensi pelaksana Kerajaan memikul amanah rakyat demi memenuhi aspirasi Kerajaan dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan mengikut kos dalam tempoh yang ditetapkan. Penyerahan projek ini merupakan kesinambungan pencapaian projek-projek yang dilaksanakan oleh JKR dalam usaha untuk menyediakan prasarana yang selesa, kondusif dan canggih seiring dengan keperluan pihak pelanggan.

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH diucapkan kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Pasukan  Projek, HODT JKR dan pelbagai Pasukan Audit JKR dalam memastikan mutu rekabentuk dan pembinaan yang tinggi. Tahniah juga kepada Kontraktor Utama, Sub-Kontraktor Yang Dinamakan (NSC) dan Juru Perunding yang turut menyumbang kepada kejayaan menyiapkan projek secara 4 Dalam 1, penyiapan lebih awal, pengurangan kos dan menjadi bangunan Kerajaan yang pertama    mengambil kira rekabentuk seismik. Syabas!

JKR “PELANGGAN DIUTAMAKAN, JANJI DIKOTAKAN”
-Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat-