Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah berjaya menyiapkan Projek Pemasangan Dan Menaiktaraf Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) Serta SMS Notifikasi CCTV di Pejabat-Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. Majlis penyerahan rasmi projek ini telah diadakan pada 21 Februari 2025, dari jam 3.00 petang hingga 4.30 petang di Dewan Transformasi, SPRM Negeri Sembilan
Projek ini diserahkan secara rasmi oleh YBrs. Ir. Noor Ashikin Bt Md Tamimi, Pengarah Perkhidmatan Pakar, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Ibu Pejabat JKR Malaysia kepada YBrs. Tuan Zuhairie bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, mewakili pihak pelanggan. Turut hadir sama adalah YBhg. Dato’ Haji Azmi Bin Haji Alias, Pengarah SPRM Negeri Johor, serta wakil pegawai penguasa utama, pegawai-pegawai JKR, pegawai SPRM, dan pihak kontraktor.
Projek ini dilaksanakan secara Konvensional Dalaman melibatkan Unit Perunding Akustik dan ELV (pasukan HOPT), Unit Perunding Inspektorat dan Keselamatan Elektrik (pasukan HODT) serta Unit Perunding Akustik dan ELV di CKE, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Pembinaan projek bermula pada 1 Ogos 2024 dan berjaya disiapkan pada 23 Januari 2025.
Projek ini telah berjaya diserahkan secara 3 dalam 1, iaitu merangkumi:
- Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) ;
- Lukisan Siap Bina (As-built Drawing); dan
- Statement of Final Account (SOFA)
Projek ini juga merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan kecekapan pemantauan keselamatan melalui penggunaan teknologi kamera terkini, sistem notifikasi serta rakaman CCTV. Dengan siapnya projek ini, sistem CCTV di tujuh premis SPRM telah dinaiktaraf kepada resolusi terkini, selain peningkatan tempoh rakaman bagi laluan operasi dan lokasi berisiko dalam tempoh yang lebih lama.
Projek ini juga dilihat sebagai lambang komitmen JKR Malaysia dalam meningkatkan tahap keselamatan serta integriti sektor awam, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan projek ini.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 306 bacaan