Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Malaysia telah berjaya menyiapkan Projek Pemasangan Dan Menaiktaraf Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) Dan SMS Notifikasi CCTV di pejabat-pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Melaka, Perak dan Pulau Pinang. Majlis penyerahan rasmi telah diadakan pada 7 April 2025, dari jam 2.30 petang hingga 5.00 petang bertempat di Auditorium SPRM Negeri Perak.
Projek ini diserahkan secara rasmi oleh YBrs. Ir. Noor Ashikin Bt Md Tamimi, Pengarah Perkhidmatan Pakar, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Ibu Pejabat JKR Malaysia kepada YBrs. Tuan Zuhairie bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, mewakili pihak pelanggan. Turut hadir sama adalah YBhg. Dato’ Ahmad Sabri bin Mohamed, Pengarah SPRM Negeri Perak, serta wakil pegawai penguasa utama, pegawai-pegawai JKR, pegawai SPRM, dan pihak kontraktor.
Projek yang dilaksanakan secara Konvensional Dalaman ini melibatkan Unit Perunding Akustik dan ELV (pasukan HOPT), Unit Perunding Inspektorat dan Keselamatan Elektrik (pasukan HODT), Ibu Pejabat JKR Malaysia. Pembinaan projek bermula pada 30 Julai 2024 dan berjaya disiapkan pada 21 Mac 2025. Di samping itu, projek ini telah berjaya diserahkan secara 2 dalam 1 merangkumi:
a. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) ; dan
b. Dokumen Operasi Dan Penyelenggaraan (O&M Document)
Justreu, ia juga merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan kecekapan pemantauan keselamatan melalui penggunaan teknologi kamera terkini, sistem notifikasi serta rakaman CCTV. Dengan siapnya projek ini, sistem CCTV di empat premis SPRM telah dinaiktaraf kepada resolusi terkini, selain peningkatan tempoh rakaman bagi laluan operasi dan lokasi berisiko dalam tempoh yang lebih panjang.
Projek ini dilihat sebagai lambang komitmen JKR Malaysia dalam meningkatkan tahap keselamatan serta integriti sektor awam, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 143 bacaan