Date: Rabu, Februari 3, 2021

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di Hospital Langkawi, Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 12 Januari 2021 (Selasa) bertempat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Encik Khairul Anwar Bin Mohamad Nor , Jurutera Fasiliti JKR Langkawi selaku Wakil Pegawai Penguasa projek ini kepada YBrs. Dr. Akmal Naziah Binti Dato’ Haji Ahmad, Pengarah Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah. Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai dari Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan pegawai JKR Langkawi serta pihak kontraktor.

Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di Hospital Langkawi, Kedah direkabentuk oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dan perlaksanaannya adalah secara konvensional. Jurutera Daerah JKR Langkawi yang dilantik sebagai Pegawai Penguasa (PP) dan dibantu oleh Jurutera Fasiliti selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) serta Pegawai Tapak Bina (PTB). Kontraktor yang melaksanakan projek ini adalah Kilauan Sutera Sdn. Bhd. Antara kaedah utama pembaikan cerun ini menggunakan kaedah Soil Nailing. Matlamat utama pembinaan projek ini adalah memastikan cerun kawasan hospital ini stabil dan selamat.

Pembinaannya telah bermula pada 07 Ogos 2019 dan tempoh pembinaan asal selama 52 minggu yang mana penyiapan asalnya adalah pada 07 Julai 2020 dan dilanjutan tempoh pembinaan melalui EOT No.1 pada 29 Oktober 2020. Walau bagaimanapun, projek ini dapat disiapkan pada 29 November 2020 dan pihak kontraktor dikenakan LAD dari 30 Oktober 2020 sehigga 28 November 2020. Kos Kontrak asal projek ini adalah RM 1,561,400.00 dan kos kontrak semasa ialah RM 1,462,490.00

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 3 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 29 November 2020
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
  3. Penyiapan As Built Drawing 

 

Terdapat beberapa kekangan dalam perlaksanaan pembaikan cerun ini, antaranya adalah Penularan Wabak Covid-19 yang telah melanda negara kita baru- baru ini dan masih kekal sehingga sekarang. Penularan Wabak tersebut telah menyebabkan Perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilaksanakan bermula pada 18 Mac 2020 sehingga bulan Jun 2020. Perintah tersebut menyebabkan pihak kontraktor tidak dapat meneruskan kerja pembinaan. Selepas tempoh tersebut tamat, pihak kontraktor terpaksa menghadapi masalah lain pula iaitu kekurangan tenaga kerja dan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah akibat daripada PKP dan persaingan dari pembinaan lain.

Walaupun pelbagai kekangan yang dihadapi, projek ini tetap dapat disiapkan. Model-model pengalaman kejayaan projek sebelum ini di JKR Daerah Langkawi dan di JKR lain telah dijadikan panduan untuk strategi perlaksaan bagi projek ini. Malah ianya ditambahbaik dari masa ke semasa. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.