Date: Isnin, Disember 21, 2020

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Jaya, Maran, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 15 Disember 2020 (Selasa) bertempat di SMK Sri Jaya, Maran, Pahang. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs En Mohd Zaky Bin Zakaria, Jurutera Daerah JKR Maran selaku Pegawai Penguasa projek ini kepada YBrs. En Mohd Faishal bin Mat Isa, Pegawai Eksekutif Tinggi Sektor Pengurusan, Pejabat Pendidikan Daerah Maran (JPN). Majlis ini turut dihadiri oleh Guru Besar Sekolah SMK Sri Jaya, Guru Sekolah dan Pegawai JKR Maran serta pihak kontraktor.

Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di SMK Sri Jaya, Maran, Pahang direkabentuk oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dan pelaksanaannya adalah secara konvensional. Jurutera Daerah JKR Maran dilantik sebagai Pegawai Penguasa (PP) dan dibantu oleh Jurutera Jalan selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) serta Pegawai Tapak Bina (PTB). Kontraktor yang melaksanakan projek ini adalah Hassan Development Company Sdn. Bhd. Antara dua kaedah utama pembaikan cerun ini menggunakan kaedah Soil Nailing dan ‘Hydroseeding’. Matlamat utama pembinaan projek ini adalah memastikan cerun kawasan sekolah ini stabil dan selamat memandangkan kawasan sekolah ini dibina berhampiran dengan cerun sediaada. Perlaksanaannya dapat menghilangkan kegusaran pihak sekolah kerana kegagalan cerun sebelum ini telah dibuat pembaikan sepenuhnya.

Pembinaannya telah bermula pada 22 Ogos 2019 dan tempoh pembinaan asal bagi projek ini selama 11 bulan yang mana penyiapan asalnya adalah pada 22 Julai 2020. Walau bagaimanapun, projek ini terpaksa dilanjutkan ke tarikh 13 November 2020 kerana EOT wajib yang perlu diberikan kepada kontraktor akibat Perintah Kawalan Pergerakan ( Pendemik Covid 19 ). Walaubagaimanapun, projek ini dapat disiapkan lebih awal dari tarikh lanjutan yang diberikan iaitu pada 04 November 2020, awal 10 hari. Kos Kontrak asal projek ini adalah RM 1,222,355.00 tetapi disiapkan dengan kos berjumlah RM 1,490,780.24.

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 5 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 04 November 2020
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA) pada 24 November 2020
  3. Penyiapan As Built Drawing pada 23 November 2020
  4. Siap Awal pada 04 November 2020 ( awal 10 Hari )
  5. Coffee Table Book

Terdapat beberapa kekangan dalam perlaksanaan pembaikan cerun ini, antaranya pihak kontraktor tidak dapat memulakan kerja sekitar bulan November dan Disember 2019 kerana musim tengkujuh. Di samping itu juga, pada awal Januari 2020. Projek ini terpaksa dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada pendaftaran pelajar baru sesi 2020. Kekangan seterusnya menyebabkan pembinaan projek ini terhenti sekali lagi pada pertengahan bulan Mac sehingga pertengahan Jun 2020 berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Pandemik wabak Covid-19.

Walaupun pelbagai kekangan yang dihadapi, projek ini tetap dapat disiapkan awal dari tempoh penyiapan sebenar. Model-model pengalaman kejayaan projek sebelum ini di JKR Daerah Maran dan di JKR lain telah dijadikan panduan untuk strategi perlaksaan bagi projek ini. Malah ianya ditambahbaik dari masa ke semasa. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya