Date: Isnin, Februari 22, 2021

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-Kerja Berkaitan Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran,Maran, Pahang telah dilaksanakan pada 18 Februari 2021(Khamis) bertempat di SMK Maran, Maran, Pahang. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs En Mohd Zaky Bin Zakaria, Jurutera Daerah JKR Maran selaku Pegawai Penguasa projek ini kepada YBrs. En Zulkifle Bin Basah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Maran (PPD). Majlis ini turut dihadiri oleh Pengetua SMK Maran, Guru Sekolah dan Pasukan Projek JKR Maran serta Kontraktor Utama, Propecon Sdn Bhd..

Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di SMK Maran,Maran, Pahang telah direkabentuk oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dan pelaksanaannya adalah secara konvensional. Jurutera Daerah JKR Maran telah dilantik sebagai Pegawai Penguasa (PP) dan dibantu oleh Jurutera Bangunan selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) serta Pegawai Tapak Bina (PTB). Kontraktor yang melaksanakan projek ini adalah Propecon Sdn. Bhd. Beberapa kaedah utama pembaikan cerun telah digunakan di dalam projek ini iaitu kaedah Micropile, Buttress Wall, Soil Nailing, Stone Pitching dan Close Turfing. Matlamat utama pembinaan projek ini adalah memastikan cerun kawasan sekolah ini stabil dan selamat memandangkan kawasan sekolah ini dibina berhampiran dengan cerun sediaada yang telah mengalami kegagalan cerun. Ia juga menjamin keselamatan guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah.

Projek ini telah mula Milik Tapak pada 16 Januari 2020 dan tempoh pembinaan asal bagi projek ini adalah 12 bulan di mana Tarikh Siap Asal pada 16 Disember 2020. Walau bagaimanapun, projek ini telah diberi kelulusan untuk Lanjutan Masa (EOT) sebanyak 114 hari disebabkan penularan wabak Covid-19 dan Tarikh Siap Semasa adalah 9 April 2021. Namun demikian, ia tidak meluluhkan semangat Kontraktor Utama untuk menyiapkan projek ini pada 9 Februari 2021 malahan lebih awal dari Tarikh Siap Semasa sebanyak 59 hari. Projek ini juga mempunyai penjimatan kos sebanyak RM 70,156.38 di mana Kos Kontrak Asal projek adalah RM 1,715,940.00 tetapi Kos Kontrak Semasa berjumlah RM 1,645,783.61.

Projek ini bukan sahaja menepati KPI JKR Malaysia 3 dalam 1 malahan telah memberi nilai tambahan iaitu 7 dalam 1. Ia merangkumi perkara-perkara berikut:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 9 Februari 2021
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA) pada 16 Februari 2021
  3. Penyiapan As Built Drawing pada 10 Februari 2021
  4. Siap Awal pada 9 Februari 2021 (awal 59 Hari)
  5. Penjimatan Kos Projek sebanyak RM 70,156.38
  6. 0 Accident sepanjang tempoh pembinaan terutama yang melibatkan gejala wabak Covid-19
  7. Coffee Table Book

 

Pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh Kontraktor Utama tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan projek ini walaupun pelbagai SOP perlu dipatuhi disebabkan penularan wabak Covid-19. Usaha keras pasukan projek JKR Maran yang mewakili Pegawai Penguasa serta pasukan HOPT @ HODT, Cawangan Kejuruteraan Cerun amat dihargai kerana semua pihak menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan semua isu teknikal diselesaikan segera dan projek ini disiapkan dengan jayanya.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dan JKR telah membuktikan kredibiliti dan keupayaan teknikal yang menjadi matlamat utama Jabatan direalisasikan dengan kejayaan projek ini. Semoga kejayaan projek ini menjadi ikon bagi projek-projek lain di Daerah Maran khususnya dan di seluruh Malaysia secara amnya.