Date: Selasa, Ogos 25, 2020

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-Kerja Berkaitan Di SKN 340, TUDM Bukit Kubong, Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Ogos 2020 (Jumaat) bertempat di Kompleks TUDM Bukit Kubong, Wilayah Persekutuan Labuan. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Labuan selaku Pegawai Penguasa projek ini kepada YBrs. Leftenan Kolonel Mohd Shafriz bin Othman, Pegawai Pemerintah Skuadron 340 Tentera Udara Diraja Malaysia dan disaksikan oleh YBrs. Brigedier Jeneral Hj. Muhammad Taha bin Hamdan, Ketua Staf Markas Wilayah Udara 2 Tentera Udara Diraja Malaysia.

Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-Kerja Berkaitan Di SKN 340, TUDM Bukit Kubong direkabentuk oleh Cawangan Kejuruteran Cerun, Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dan pelaksanaannya adalah secara konvensional. Terdapat tiga lokasi cerun yang dibaiki di sekitar Markas Pangkalan Udara 2 ini. Cerun utama yang mengalami kegagalan yang lebih besar adalah cerun no.1. Cerun ini telah dibaiki dengan membentuk semula profil cerun asal dengan melibatkan pembinaan 4 ‘berm’  berketinggian 5m beserta pemasangan ‘geotextile’ dan rumput tutup rapat. Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Labuan dilantik sebagai Pegawai Penguasa (PP) dan dibantu oleh Jurutera Awam Kanan (Jalan) selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) serta Pegawai Tapak Bina (PTB). Kontraktor yang melaksanakan projek ini adalah Semarak Geo Enterprise. Matlamat utama pembinaan projek ini adalah memastikan cerun kawasan TUDM ini stabil dan selamat memandangkan kawasan TUDM ini dibina berhampiran cerun sediada. Perlaksanaannya dapat menghilangkan kegusaran pihak TUDM kerana kegagalan cerun sebelum ini telah dibuat pembaikan sepenuhnya.

Projek ini telah siap sepenuhnya pada 1 Julai 2020, dengan Kos Semasa RM 1,660,916.88 dan berjaya diserahkan kepada TUDM dengan Kategori 5 dalam 1 meliputi  ketersediaan pencapaian berikut :

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Penyerahan Lukisan Siap Bina (As Built)
  3. Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
  4. Penjimatan Kos Projek
  5. Sifar Kemalangan di Tapak

Model-model pengalaman kejayaan projek sebelum ini di JKR Wilayah Persekutuan Labuan dan JKR lain dijadikan panduan untuk strategi perlaksanaan bagi projek ini. Malah ianya ditambahbaik dari masa ke semasa. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.