Date: Rabu, Februari 9, 2022

Majlis Penyerahan projek siap kepada pihak pelanggan bagi Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah diadakan pada 7 Februari 2022 (Isnin) yang telah disempurnakan YBrs. Sr. Amran Bin Hj. Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) kepada Ybhg. Prof. Dr. Fadzli Bin Adam, Naib Canselor (Menjalankan Fungsi) UniSZA.

 

Majlis tersebut telah diadakan di dewan Auditorium pada jam 9.30 pagi di mana dokumen penyerahan ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Ir. Roslan Bin Ismail, Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas 1 dan YBrs. Puan Azlinda Binti Azman, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi dan disusuli penyerahan replika kunci oleh YBrs. Sr. Amran Bin Hj. Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) kepada Ybhg. Prof. Dr. Fadzli Bin Adam, Naib Canselor (Menjalankan Fungsi) UniSZA sebagai simbolik penyerahan bangunan.

 

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Reka dan Bina, Cawangan Kerja Pendidikan (CKP) dilantik selaku Head of Project Team (HOPT) dan projek ini diselia oleh Pasukan Projek Khas 1 selaku Pengarah Pembinaan. Pasukan perekabentuk selaku HODT terdiri daripada Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik.

 

Projek ini telah dilaksanakan oleh kontraktor GPQ Sdn Bhd bermula pada 21 Mac 2016 dan telah berjaya disiapkan pada 10 Disember 2021 iaitu lebih awal daripada tarikh siap dilanjutkan iaitu pada 11 Disember 2021 dengan kos kontrak terlaras RM 281,124,216.25.

 

Skop kerja utama projek ini merangkumi 1 Blok Bangunan Hospital berketinggian enam (6) tingkat termasuk blok sokongan iaitu Mortuary, Engineering, Pump House dan lain-lain. Projek Hospital ini juga dilengkapi dengan peralatan perubatan seperti General Radiagraphy,MRI 3T System HIFU, CT Scan System, Ultrasound (Mamography) dan lain-lain. Projek ini turut berjaya disiapkan secara 3 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Statement of Final Account (SOFA)
  3. Penyiapan As-Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual

 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek Khas 1, Cawangan Kerja Pendidikan, barisan pakar HODT JKR, Pihak GPQ Sdn Bhd dan semua pihak serta agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan penyiapan projek ini.