Date: Rabu, September 14, 2022

Majlis Penyerahan Projek Siap kepada pelanggan bagi Projek Pembinaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis (Bangunan SUK Baru) Mukim Seriab, Perlis telah berlangsung dengan jayanya pada 10 september 2022 (Sabtu) bertempat di Kompleks SUK baru, Perlis.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya Malaysia, YBrs. Ir. Rahmat Bin Hj. Abd. Rahman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad. Majlis penyerahan ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Perlis, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Bin Man.

Pada majlis ini, diadakan upacara menandatangani Sijil Penyerahan dan Penerimaan Projek oleh YBrs. Ir.  Mohd Shahril Bin Mohd Said, Pengarah Kerja Raya Negeri Perlis selaku Pegawai Penguasa kepada YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang disaksikan oleh YAB. Menteri Besar Perlis, TKP Sektor Bangunan JKR, YB. Tuan Hamizan Bin Hassan, Exco Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan.

Majlis diteruskan dengan penyerahan replika kunci oleh En. Norsiake Bin Kassim, Pengarah Projek PENs Holdings Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama projek ini kepada TKPKR Sektor Bangunan dan seterusnya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri perlis sebagai simbolik penyerahan bangunan SUK ini.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman oleh Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA 1) selaku Pengurus Program dan HOPT. Pasukan perekabentuk selaku HODT terdiri daripada Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik. Pengarah JKR Negeri Perlis telah diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Penguasa untuk menyelia projek ini.

Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor PENs Holdings Sdn Bhd secara rundingan terus. Siling peruntukan projek berjumlah RM 87.98 juta dan harga kontrak terlaras adalah RM 80.50 juta dengan penjimatan sebanyak RM 7.50 juta. Pelaksanaan pembinaan projek ini adalah menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS) dan tempoh pembinaan asal projek adalah selama 24 bulan iaitu bermula dari 27 April 2017 hingga 24 April 2019. Walau bagaimanapun atas sebab-sebab yang dibenarkan termasuklah kekangan disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), projek telah diberikan lanjutan masa dan berjaya disiapkan pada 12 Julai 2022.

Skop kerja yang terlibat adalah Bangunan Pentadbiran SUK 4 tingkat terdiri dari Blok A, B dan Fasiliti, Dewan Bankuet berkapasiti 600 orang.  Disamping itu juga, dilengkapi oleh blok sokongan seperti rumah sampah, blok mekanikal & Elektrik dan pondok pengawal. Projek ini berjaya disiapkan secara 8 dalam 1 iaitu:

 

1.    Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang diperakukan pada 12 Julai 2022

2.    Lukisan Siap Bina

3.    Penyata Akaun Muktamad (SOFA)

4.    Penjimatan Kos Projek sebanyak RM 7.5 juta

5.    Pengiktirafan QLASSIC oleh CIDB

6.    Operation & Manual Maintenance (O&M)

7.    Zero Lost Time Injuries (LTI)

8.    Coffee Table Book

Tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor yang telah berjaya menyiapkan projek ini dan diserahkan kepada pihak pelanggan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada HOPT  Cawangan Kerja Bangunan Am 1, semua HODT, Pasukan Projek JKR Perlis serta kontraktor utama yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini.