Date: Khamis, March 23, 2023

Majlis Penyerahan Projek Siap kepada pelanggan bagi Projek Pembinaan Kuarters Bertingkat Di Pusat Konservasi Hidupan Liar, Sungkai, Perak telah berlangsung dengan jayanya pada 15 Mac 2023 (Rabu) bertempat di Ruang Serbaguna, Blok B, Kuarters Bertingkat Di Pusat Konservasi Hidupan Liar, Sungkai, Perak.

Majlis menandatangani Sijil Penyerahan Dan Penerimaan Kunci disempurnakan oleh YBhg. Dato' Hasnan bin Hj. Yusop, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia selaku wakil pelanggan dan Ir. Razali bin Mohd Shaili, Jurutera Daerah JKR Batang Padang selaku Pegawai Penguasa projek dengan disaksikan oleh YBrs. En. Syed Zubir bin Syed Husin, Timbalan Pengarah JKR Perak, YBrs. En. Ahmad Redhauddin bin Ahmad Shokori, Pegawai Daerah Batang Padang serta YDH. Toh Paduka Indera Dato' Mat Rasid bin Ayob DPMP, AMP Orang Besar Jajahan Batang Padang.

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Hj. Yusoff bin Shariff, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Perak, wakil dari Ketua Pasukan Projek (HOPT), wakil semua Pasukan Pegawai Penguasa (WPP), wakil kontraktor utama dan wakil kontraktor dinamakan (NSC).

Majlis diteruskan dengan penyerahan replika kunci oleh YBrs. En. Syed Zubir bin Syed Husin, Timbalan Pengarah JKR Perak kepada YBhg. Dato' Hasnan bin Hj. Yusop, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) PERHILITAN sebagai simbolik penyerahan bangunan Kuarters Bertingkat ini. Acara diteruskan dengan lawatan ke unit contoh dan sesi pemotongan reben.

Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor utama iaitu Santun Tegas Sdn. Bhd. secara tender terbuka. Tempoh pembinaan projek adalah selama 36 bulan iaitu bermula dari 13 Februari 2020 hingga tarikh siap semasa pada 3 Februari 2023. Walau bagaimanapun projek ini dapat disiapkan 3 hari awal dari tarikh siap semasa iaitu pada 30 Januari 2023.

Projek ini juga dilaksanakan secara konvensional dalaman dan menggunakan Pre-Approved Plan (PAP). Ia telah berjaya disiapkan mengikut KPI serahan 3 dalam 1 iaitu :

a) Sijil Perakuan Kerja Siap (CPC) ,

b) Lukisan Siap Bina ; dan

c) Penyata Akaun Muktamad – SOFA

 

Disamping nilai tambah yang lain iaitu :

d) Siap awal dari jadual tarikh siap semasa

e) Tiada Kemalangan

f)  Tiada Major Defect

g) Dokumen Coffee Table

 

Secara ringkasnya, skop kerja yang terlibat bagi projek ini adalah merangkumi:

a) 2 Blok kuarters 5 tingkat mengandungi 18 unit kuarters, ruang serbaguna dan surau

b) Bangunan Sokongan

c) Kemudahan Rekreasi

 

Tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor yang telah berjaya menyiapkan projek ini dan diserahkan kepada pihak pelanggan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, HOPT iaitu Cawangan Kerja Bangunan Am 2 (CKBA 2), semua pasukan HODT, Pasukan JKR Perak dan JKR Batang Padang serta kontraktor utama dan kontraktor NSC yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini. Diharapkan dengan penyerahan Kuarters Bertingkat ini akan memberikan manfaat dan keselesaan kepada kakitangan jabatan berkenaan.