Date: Rabu, Ogos 2, 2023

Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Labis, Johor telah Berlangsung dengan jayanya pada 26 Julai 2023 (Rabu) pada jam 10 Pagi bertempat diperkarangan bangunan Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Labis, Segamat.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Ir. Nor Saleheen Binti Abdul Razak, Jurutera Daerah JKR Segamat kepada YBrs. Encik Mohd Norzam Bin Mustapa, Setiausaha Bahagian Pembangunan KDN dan disaksikan oleh YBrs. Encik Mohd Masni Bin Wakiman, Pegawai Daerah Segamat, Yang Berhormat Encik Tan Chong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok Dan Yang Berhormat Puan Hajjah Haslinda Binti Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang.

Sesi penyerahan ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs Encik Zamri Bin Misman Ketua Pengarah JPN Malaysia, wakil Cawangan Kerja Keselamatan Ibu Pejabat JKR Malaysia, Wakil Pegawai Penguasa (WPP) Pakar, Pegawai-pegawai daripada JKR & JPN Negeri Johor, Pasukan Pejabat Selia Tapak (JKR Daerah Segamat), Pasukan Kontraktor dan NSC serta warga kerja JPN Labis.

Pelaksanaan projek ini adalah secara konvensional dalaman di mana Cawangan Kerja Keselamatan (CKK) telah dilantik sebagai Pengurus Program dan Bahagian Bangunan JKR Negeri Johor dilantik sebagai Penolong Pengurus Program. Pembinaan projek ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jurutera Daerah JKR Segamat selaku Pegawai Penguasa dan Jurutera Bangunan JKR Segamat selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama. Perolehan projek ini telah dilaksanakan secara tender terbuka dan Perniagaan Sinar Maju Sdn Bhd. telah dilantik sebagai kontraktor utama. Projek ini telah bermula pada 20 Mei 2021 dan siap sepenuhnya pada 11 Julai 2023.

Skop kerja yang terlibat dalam projek ini adalah:

  1. Membina Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Labis, Johor berkeluasan 580m2 dengan 6 kaunter, ruang cetak, bilik pegawai, bilik perbincangan dan bilik perkahwinan.
  2. Pembinaan blok sokongan seperti Pondok pengawal dan Rumah Sampah
  3. Kerja-Kerja Wang Kos Prima untuk kerja-kerja mekanikal dan elektrikal
  4. Kerja-kerja infrastruktur di luar bangunan

Sepanjang tempoh pelaksanaan projek, pelbagai isu dan cabaran telah dihadapi termasuklah cabaran ketika menghadapi pendemik Covid-19. Namun, setiap cabaran dan dugaan yang ditempuh bukanlah menjadi batu penghalang buat yang terlibat, malah ianya menjadi pendorong utama dalam meastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti, demi kesejahteraan rakyat. Projek ini dapat disiapkan dengan memenuhi kriteria 3 dalam 1 iaitu;

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) Telah Diperakukan Pada 11 Julai 2023;
  2. Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
  3. Lukisan Siap Bina

Disamping Nilai Tambah Yang Lain Iaitu :

  1. Operation & Manual (O & M);
  2. Penjimatan daripada Kos Kontrak Asal;
  3. Zero Major Defects;
  4. Zero Lost Time Injuries (LTI) Dan
  5. Gerbang Nilai 4 (Kesediaan Untuk Perkhidmatan) – JPN Labis mula beroperasi di bangunan baru pada 30 Julai 2023

Majlis Penyerahan Projek ini telah terbukti JKR “Jasa Kepada Rakyat” dapat diterjemahkan melalui kejayaan dan kegemilangan yang akhirnya akan dinilai oleh rakyat. Penyiapan projek ini adalah merupakan satu lagi kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek di JKR Segamat dalam usaha untuk menyediakan keperluan infrastruktur kepada jabatan kerajaan. Penyerahan projek ini akan memberi keselesaan kepada rakyat semasa berurusan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) Labis. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan kontraktor dan pasukan penyeliaan projek yang menunjukkan prestasi yang amat baik serta memberi komitmen yang tinggi bagi penyiapan projek dengan berkualiti.