Date: Selasa, Januari 19, 2021

Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Pejabat Penerangan Daerah Rompin, Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 15 Januari 2021 (Jumaat) bertempat di Bangunan Pejabat Jabatan Kerja Raya Daerah Rompin, Pahang.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas negeri Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Melaka serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Pahang yang melibatkan lokasi tapak projek berkenaan yang berkuatkuasa mulai 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021, Majlis Penyerahan Projek tersebut tetap diteruskan secara hibrid.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan penyerahan kunci bangunan secara fizikal oleh YBrs. Encik Mohd Herzi Bin Che Hussin, Jurutera Daerah JKR Rompin selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Encik Mohd Salmun Bin Mustafa, Pengarah Penerangan Negeri Pahang. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Ir. Hafizah Binti Zakaria, Pengarah JKR Pahang dan turut dihadiri secara maya oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Penerangan Malaysia, Pasukan Projek  Head of Project Team (HOPT) Cawangan Kerja Bangunan Am 1, HODT serta JKR Negeri Pahang.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan Pre-Approved Plan (PAP) dengan siling projek sebanyak RM 4.5 juta. Skop projek melibatkan pembinaan 1 unit bangunan pejabat untuk pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan serta 1 unit TNB Compact Sub. Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 12 bulan iaitu bermula 25 April 2017 sehingga 23 April 2018 dan kontraktor asal telah diberi lanjutan masa selama 88 hari atas keperluan teknikal dan keperluan pihak berkuasa tempatan. Walau bagaimanapun, projek masih tidak dapat disiapkan oleh kontraktor asal pada masa tersebut, lantas pihak JKR telah membuat keputusan untuk menamatkannya dan seterusnya melantik Kontraktor Penyiap bagi meneruskan baki kerja projek. Berkat kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Kontraktor Penyiap iaitu YYM Builders Sdn. Bhd. projek ini akhirnya telah siap sepenuhnya dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 17 Disember 2020.

Matlamat utama pembinaan kompleks ini adalah untuk menyediakan persekitaran yang baik dan berkualiti kepada kakitangan sebagai asas kepada pembangunan modal insan yang mampu melahirkan penjawat awam berminda kelas pertama. Semoga kemudahan yang disediakan oleh pihak Kerajaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar penjelasan mengenai dasar-dasar dan wawasan negara dapat terus didengari dan sampai kepada rakyat di Daerah Rompin khususnya.

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 3 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 17 Disember 2020;
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA); dan
  3. Penyiapan As Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah Rompin selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Pasukan Projek HODT dan HOPT, Kontraktor Penyiap seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.

 

Berita oleh :
Bahagian Pengurusan Projek 5
Cawangan Kerja Bangunan Am 1