Date: Rabu, Februari 22, 2023

Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Pusat Komuniti / Balairaya Lot 49, Bandar Masjid Tanah Seksyen 2, Jalan Sekolah Rendah Datuk Tambi Chik Karim, Masjid Tanah, Daerah Alor Gajah, Melaka telah berlangsung dengan jayanya pada 8 Februari 2023 bertempat di Pusat Komuniti / Balairaya Lot 49, Bandar Masjid Tanah Seksyen 2, Jalan Sekolah Rendah Datuk Tambi Chik Karim, Masjid Tanah, Daerah Alor Gajah, Melaka.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh Encik Afzai Nizam bin Sandiman, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Melaka dan Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Datuk Pengarah Kerja Raya Melaka, YBhg. Datuk Saiful Hazwa bin Kipli, Pegawai Daerah Alor Gajah dan Ir. Mohd Haidir bin Haron, Jurutera Daerah Alor Gajah.

Projek ini telah dilaksanakan secara konvensional dalaman. Skop projek melibatkan pembinaan bangunan setingkat balairaya (bilik mesyuarat, pejabat, pentas, bilik penyalinan, bilik suis, pantri, tandas), jalan dalaman, kerja pagar kawasan, sistem pendawaian dan sistem penghawa dingin.

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 20 minggu iaitu bermula 10hb. Ogos 2021 sehingga 28hb. Disember 2021. Namun begitu, projek ini tidak dapat disiapkan dalam tempoh penyiapan kontrak asal di mana projek ini berdepan dengan krisis pandemik Covid-19. Berkat kesungguhan pasukan kontraktor utama iaitu Cahaya NS Enterprise telah berjaya menyiapkan projek dengan jayanya dengan lanjutan masa (Extension of Time) dan disiapkan sepenuhnya dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah dikeluarkan pada 13 Disember 2022.

Matlamat utama pembinaan projek ini adalah untuk kemudahan penduduk persekitaran untuk perjumpaan, mengadakan mesyuarat, sokongan sosial dan aktiviti lain.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Pengarah Kerja Raya Melaka, Jurutera Daerah Alor Gajah JKR Melaka, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Penyeliaan Tapak Bina JKR Daerah Alor Gajah, kontraktor seterusnya semua pihak terlibat yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.