Date: Rabu, November 9, 2016
Sekalung Tahniah kepada CAWANGAN KEJURUTERAAN INFRASTRUKTUR PENGANGKUTAN, JKR kerana telah berjaya menyiapkan Projek Pembinaan Struktur Bangunan Dan Kemudahan Di Batuan Tengah Di Kawasan Perairan Negeri Johor (Reka & Bina) dengan kos lebih RM61.5 juta. Majlis penyerahan projek ini telah berlangsung pada 8 November 2016 bertempat di Bilik Berlian, Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur. Majlis penyerahan ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha kepada Pengarah Bahagian Pembangunan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ir. Mat Nasir bin Kari, yang kemudiannya menyerahkan kepada Pengarah Maritim Wilayah Selatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Adon Bin Hj. Shalan.
Turut hadir pada majlis penyerahan ini ialah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Dato’ Sri Ahmad Puzi bin Ab Kahar; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) , Laksamana Madya Maritim Dato’ Zulkifli bin Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Dato’ Abdul Rahman bin Mohamad; Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), JKR, Dato’ Ir. Hamizan bin Mohd Inzan; Pengarah Bahagian Keselamatan Kedaulatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Encik Shakib bin Ahmad Shakir.
Projek ini adalah bertujuan menzahirkan kedaulatan Malaysia di Batuan Tengah berikutan keputusan International Court of Justice (ICJ) pada 23 Mei 2008 mengumumkan penghakiman Singapura ke atas Batu Puteh dan Malaysia mendapat hak ke atas Batuan Tengah manakala Tubir Selatan ditentukan berdasarkan perairan wilayah Negara di mana terletaknya entiti tersebut.
Projek ini bermula pada tahun 2012 di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10. Pembinaan bertujuan mengawasi keselamatan kawasan maritim di sekitarnya serta dijangka dapat menggalakkan penyelidikan marin dan meningkatkan pangkalan data untuk tujuan eksplorasi dan exploitasi di kawasan tersebut.
Projek ini telah disiapkan pada 29 Ogos 2016 oleh Kontraktor Pembinaan Ismail Sdn. Bhd. dengan kos sebanyak RM 61,501,445.08. Projek ini telah dipantau dan diselia oleh Pasukan Projek Khas yang diketuai oleh Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), JKR selaku Pengarah Projek dan dibantu oleh Pengurus Besar Pembinaan.
Projek ini melibatkan skop pembinaan Bangunan Pusat Kawalan, Menara Kawalan, Bangunan Utiliti, Rumah Bot, Wakaf Nelayan, Jeti Operasi, Jeti Nelayan, Heliport, Jambatan Penghubung, Peralatan dan Sistem Pengawasan Laut, Kemudahan/Fasiliti di Jeti, Tide Gauge Station, Peralatan di Makmal Mini (Chest Freezer, Spectrophometer, Water Distiller, Oven), dan Peralatan Gunasama (Automatic Weather Station).






- 1103 bacaan