Date: Jumaat, April 13, 2018

Majlis Penyerahan Projek Rumah Kekal Baharu (RKB) di Kg. Ulu Keneteh, Kuala Krai, Kelantan telah berlangsung dengan jayanya pada hari Isnin, 2 April 2018 jam 11.00 pagi bertempat di tapak projek. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Razani bin Ab. Lazid, Pengarah JKR Negeri Kelantan selaku Pengarah Projek kepada wakil Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), YBhg. Dato' Ir Rohaizi bin Mohd Jusoh, Pengarah Bahagian Teknikal & Infrastruktur NADMA. Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Muhammad Azman bin Jamrus, Pengarah Kanan CKBA1, Ibu Pejabat JKR Malaysia selaku Pengurus Program (HOPT).

Projek pembinaan tiga puluh (30) unit Rumah Kekal Baharu mangsa banjir di tapak RKB Berkelompok di Kg. Ulu Keneteh, Mukim Manjor, Jajahan Kuala Krai, Negeri Kelantan (Reka & Bina) adalah merupakan bantuan ikhlas daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Negeri Kelantan untuk memulakan kehidupan baru selepas rumah sedia ada mereka rosak teruk dan musnah disebabkan oleh kejadian musibah banjir besar pada bulan Disember tahun 2014. Pelanggan projek ini adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi pelaksana projek ini pula adalah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

Projek ini telah dilaksanakan secara Reka dan Bina oleh pihak kontraktor Budi Prisma Sdn Bhd (BPSB) dengan kos berjumlah RM 3,251,530.92 juta. Projek ini telah menggunapakai sistem Industrialised Building System (IBS).

Secara keseluruhannya Kerajaan Persekutuan telah pun membina sebanyak 1,113 unit RKB di Negeri Kelantan daripada 1,274 unit rumah yang  dipertanggungjawabkan melibatkan Negeri Terengganu, Pahang dan Perak. Butiran pecahan pembinaan RKB berkenaan mengikut jajahan di Negeri Kelantan adalah seperti berikut:-

No.

Jajahan

Jumlah

1.

Gua Musang (Fasa 1)

111

2.

Gua Musang (Fasa 2)

64

3.

Kuala Krai (Fasa 1)

766

4.

Kuala Krai (Fasa 2)

130

5.

Machang

12

6.

Tanah Merah

30

 

Jumlah

1,113 / *1,274

 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada JKR, NADMA dan juga pihak kontraktor serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan pelaksanaan Projek Rumah Kekal Baharu. Semoga dengan penyerahan Rumah Kekal Baharu ini dapat memberi keselesaan kepada penerima terutamanya di Kg. Ulu Keneteh, Kuala Krai, Kelantan.