Date: Khamis, Oktober 28, 2021

Pada 27 Oktober 2021 bertempat di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Projek Siap bagi dua (2) projek penggantian lif iaitu Kerja-Kerja Penggantian Lif Dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Kerja-Kerja Penggantian Lif Dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, YBrs. Ir. Hj. Lokman bin Hj. Nasir kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri, YBrs. Hj. Jalil Husni bin Yahaya.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Polis Selangor, YDH Dato’ Arjunaidi bin Mohamed, Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Ibu Pejabat, YBrs. Ir. Zalina binti Yusuf, Ketua Jurutera Mekanikal Negeri Selangor, Ir. Mohamad Tarmuzi bin Mat Nor, Pegawai-Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan kedua-dua projek ini.

Projek Kerja-Kerja Penggantian Lif Dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah dilaksanakan oleh kontraktor ONEKZ RESOURCES SDN BHD. dengan kos asal kontrak sebanyak RM1,718,000.00. Tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 13 Januari 2020 dan perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 13 September 2021.

Manakala Projek Kerja-Kerja Penggantian Lif Dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pula telah dilaksanakan oleh kontraktor SETARA TANDING ENTERPRISE dengan kos asal kontrak sebanyak RM 1,712,400.00. Tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 11 Februari 2020 dan perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 27 September 2021.

Pegawai Penguasa bagi kedua-dua projek ini adalah Pengarah Kerja Raya Negeri Selangor, manakala JKR Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Selangor telah dilantik sebagai Wakil Pegawai Penguasa Projek. Projek-projek adalah bagi menggantikan lif-lif sedia ada di kedua-dua bangunan tersebut yang telahpun melewati tempoh jangka hayat yang ditetapkan JKR.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Pengarah, Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor dan ucapan perasmian oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Dalam Negeri.

Majlis seterusnya diteruskan dengan sesi menandatangani Dokumen Serahan Projek bagi kedua-dua projek di antara Pengarah, Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor dengan Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Dalam Negeri serta diiringi oleh Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan, YBrs. Ir. Zalina binti Yusuf dan Ketua Polis Selangor, Yang DiHormati Dato’ Arjunaidi bin Mohamed.

Majlis diteruskan lagi dengan sesi simbolik penyerahan kunci dan sesi bergambar. Majlis diakhiri dengan sesi lawatan oleh tetamu kehormat ke dalam bangunan Menara 2.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan projek, pihak HOPT dan HODT, WPP Utama, WPP Pakar, pihak kontraktor iaitu One Kz Resources Sdn Bhd dan Setara Tanding Enterprise serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak pelanggan dengan jayanya.