Date: Selasa, Ogos 30, 2022

Pada tanggal 26 Ogos 2022 (Jumaat) dan bertempat di Mezzanine Kanan, Blok G KKR 2, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur telah berlangsung Majlis Penyerahan projek siap bagi projek di bawah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan yang melibatkan projek PEMBINAAN SEMULA KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR ASAS DI PULAU JARAK, PERAK.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Md Khairi bin Yaacob Jurutera Awam Penguasa Kanan (Bahagian Maritim) Selaku Pegawai Penguasa Projek Pembinaan Semula Kemudahan Infrastruktur Asas Di Pulau Jarak kepada YBrs. Ir. Rudy bin Amir Pengarah Bahagian Pembangunan, MKN dan disaksikan oleh YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) dan YBrs. Ir. Waznah binti Abdul Aziz, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan.

Majlis penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Ir. Haji Abd Rahman bin Pandi Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia, YBrs. Kepten Mahamad Nazir bin Darus daripada Cawangan Prasanara Markas Tentera Laut, YBhg. Dato' Ir. Shaari Bin Hj. Hassan dari Chengal Jati Sdn. Bhd., Pegawai MKN, Pegawai Markas tentera laut, pasukan penyelia projek JKR, pejabat  HOPT dan HODT yang terlibat.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman oleh Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan selaku Pengurus Program, HOPT dan HODT serta Pasukan Penyelia Projek. Pasukan perekabentuk selaku HODT terdiri daripada Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (Bhg. Maritim CKIP, Bhg. Arkitek CKIP, Bhg. Lapangan Terbang CKIP), Cawangan Kejuruteraan Awam Dan Struktur, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik. Jurutera Awam Penguasa Kanan (Bahagian Maritim, CKIP) telah diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Penguasa untuk menyelia projek ini. Projek secara tender terbuka (Pra-Kelayakan) ini telah dilaksanakan oleh kontraktor yang terpilih iaitu Chengal Jati Sdn. Bhd. dengan siling peruntukan berjumlah RM45.4 Juta dan harga kontrak sebanyak RM 35.4 Juta dengan penjimatan sebanyak RM 10 Juta. Ia melibatkan pembinaan:

  1. Sebuah bangunan baharu setinggi empat (4) tingkat yang mengandungi bilik operasi, bilik semboyan, bilik senjata, dewan makan, bilik penginapan untuk 34 anggota dan tandas;
  2. Sebuah jeti bersaiz 6.5m x 50m yang direka bentuk untuk kapal KM Marin atau kapal yang berspeksifikasi lebih rendah untuk berlabuh, serta;
  3. Sebuah platform heliport yang direka bentuk untuk Helicopter EC 725 atau helikopter yang lebih kecil untuk mendarat.

Projek ini turut berjaya disiapkan secara tiga dalam satu (3-in-1) iaitu, Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion, CPC), Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account, SOFA), Lukisan Siap Bina (As-Built drawing) berserta Manual Operating diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dijadikan sebagai Forward Operating Base (FOB) bagi kegunaan Markas Tentera Laut (TLDM).

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan CKIP selaku Pegawai Penguas, Pengurus Program, HOPT dan HODT serta barisan pakar HODT JKR, pihak Chengal Jati Sdn. Bhd. dan Subkontraktor Dinamakan serta semua pihak serta agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan penyiapan projek ini.