Majlis penyerahan projek siap bagi Projek Mahkamah Kota Bharu, Kelantan (Reka & Bina) telah diadakan pada 23 Julai 2019 (Selasa), bertempat di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, Kelantan.
Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Bin Hj. Osman, Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YBhg. Dato' Rohaizi Bin Bahari, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Pembangunan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selaku wakil pihak Pelanggan.
Turut menyerikan majlis ini adalah YAA Dato' Seri Utama Tengku Maimun Binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara, YB Tuan Mohamed Hanipa Bin Maidin, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), YA Dato’ Wan Ahmad Farid Bin Wan Salleh, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, YBrs. Tuan Ahmad Terrirudin Bin Mohd Salleh, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Muhammad Azman bin Jamrus, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku Pengurus Program, YB Hajah Mumtaz Binti Md Nawi, EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan mewakili YB Menteri Besar Kelantan, YBrs. Tuan Haji Alias Bin Ab Kadir, Jurutera Jajahan Kota Bharu selaku Wakil Pengarah Projek, YBrs. Tuan Syed Akmal Bin Syed Yusof, Pengarah Urusan CAKNA Enterprise Sdn Bhd, selaku kontraktor projek serta Pegawai-Pegawai Kanan daripada JKR, JPM, BHEUU, dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP).
Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina bertujuan meningkatkan produktiviti bagi penyelesaian kes-kes sivil dan jenayah serta meningkatkan aspek privasi dan keselamatan pengguna yang terdiri daripada hakim, pegawai mahkamah, orang awam dan Orang Kena Tuduh (OKT) dengan kos asal sebanyak RM 96,730,888.88 dan disiapkan dalam tempoh 46 bulan.
Skop projek ini melibatkan pembinaan kompleks mahkamah baru yang menempatkan tiga (3) buah Mahkamah Tinggi, lima (5) buah Mahkamah Sesyen, lima (5) buah Mahkamah Majistret termasuk Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak serta bilik-bilik sokongan dan lain-lain kerja berkaitan
Projek ini telah berjaya memenuhi inisiatif penambahbaikan yang telah digariskan oleh JKR iaitu ENAM BELAS (16) DALAM SATU (1) semasa penyiapan dan penyerahan projek seperti berikut :
- Penerimaan Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC),
- Penyediaan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC),
- Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA),
- Penyiapan Lukisan Siap Bina (as-built drawing),
- Pengiktirafan 3 bintang untuk Penarafan Hijau (pHJKR) oleh Cawangan Alam Sekitar Dan Kecekapan Tenaga (CASKT) JKR,
- Projek berjaya disiapkan 322 hari lebih awal daripada jadual,
- Penjimatan kos kontrak sebanyak RM 3,006,496.42,
- Zero VO - tiada pertambahan kos kontrak,
- Zero Major Defects - tiada kecacatan yang besar direkodkan,
- Zero EOT - tiada pertambahan tempoh kontrak,
- Zero Lost Time Injuries - tiada kemalangan besar sepanjang 706,784 jam bekerja,
- Skor IBS mencapai 76.13% - melebihi skor ditetapkan 70%,
- Penerimaan fire certificate sebelum CPC,
- Penyediaan senarai bilangan aset tagging sebanyak 11,103 unit,
- Mencapai kepuasan pelanggan, dan
- Penyediaan Coffee Table Book – “Pencapaian Luar Biasa, Satu Paradigma JKR”
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1, HODT, JKR Negeri Kelantan, pihak kontraktor projek dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.
- 1958 bacaan