Date: Rabu, Ogos 7, 2019

Majlis penyerahan projek siap bagi Projek Pembangunan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (Malaysia Sea Surveillance System – MSSS) Fasa II Untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) – Radar Pulau Perak & Radar Pulau Jarak (Reka dan Bina) telah diadakan pada 4 Ogos 2019 (Ahad), bertempat di Pusat Kawalan Daerah Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Lot 3225 Jalan Bukit Malut, Langkawi.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan kepada YBhg. Dato’ Jamil bin Rakon, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri selaku wakil pihak pelanggan.

Turut menyerikan majlis adalah YBhg. Dato’ Hj. Dusuki bin Ya’acob, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Laksamana Madya Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, YBhg. Dato’ Tan Kok Kwee, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, YBrs. Laksamana Pertama Maritim Hj. Rozali bin Mohd Said, Pengarah Maritim Negeri Kedah & Perlis, YBrs.  Ir.  Mohamed Amin bin Kasim, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan, YBrs. Tn. Hj. Ibrahim Bin Ahmad, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Mohd Rozi bin Abdul Kadir, Ketua Pegawai Operasi AMP Corporation (M) Sdn. Bhd, selaku kontraktor projek serta pegawai-pegawai kanan daripada JKR, KDN, dan APMM.

Projek ini telah dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik iaitu AMP Corporation (M) Sdn. Bhd. dengan kos RM 50 juta melalui kaedah Reka dan Bina. Projek ini bermula dengan tarikh milik tapak pada 19 Januari 2016 dan telah siap pada 22 Mei 2019. Skop kerja utama yang terlibat adalah Menara Radar, Bangunan Janakuasa, Sistem Bulk Fuel Installation, Sistem Janakuasa Elektrik dan Sistem Radar Pengawasan Laut iaitu skop teras bagi projek ini.

Projek ini agak unik kerana ianya melibatkan kerja-kerja pembinaan di beberapa lokasi iaitu di Pulau Perak, Pulau Jarak, Lumut dan Langkawi yang melibatkan dua negeri iaitu Kedah dan Perak. Pulau Perak berada 123 km dari Pekan Kuah, Langkawi manakala Pulau Jarak duduknya 63 km dari Pekan Lumut. Jarak antara kedua-dua pulau tersebut adalah sejauh 230 km.

Projek ini juga telah berjaya memenuhi inisiatif penambahbaikan yang telah digariskan oleh JKR iaitu EMPAT (4) DALAM SATU (1) semasa penyiapan dan penyerahan projek seperti berikut :-

  1. Penyediaan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
  3. Penyiapan Lukisan Siap Bina (As-built Drawing)
  4. Penyediaan Coffee Table Book

Dengan siapnya projek ini, maka lengkaplah sistem pengawasan laut di Selat Melaka dimana pihak APMM berupaya untuk membuat pemantauan yang berterusan dan menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan lebih efektif dan efisien. Sekaligus ianya akan menjamin kedaulatan negara dari diceroboh oleh anasir luar.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan, HOPT, HODT, Pasukan Projek, Pihak Kontraktor dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.