Date: Isnin, Jun 29, 2020

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP BAGI PROJEK PEMBINAAN KLINIK KESIHATAN (JENIS 3) BUKIT INDAH, JOHOR BAHRU, JOHOR

 

Majlis penyerahan projek siap bagi PROJEK PEMBINAAN KLINIK KESIHATAN (JENIS 3) BUKIT INDAH, JOHOR BAHRU, JOHOR. telah diadakan pada 27 Jun 2020 (Sabtu) bertempat di tapak projek pada jam 2.30 petang.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Y.Brs. Ir. Haji Mohd Said Bin Sidik, Pengarah JKR Johor kepada YBhg. Dato’ Ramlan bin Harun, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaksikan oleh Y.B Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Kesihatan Malaysia. Majlis penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran daripada Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) YBhg. Dato' Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman serta Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Ar. Azman Bin Md Hashim. Turut hadir sama ke majlis ini adalah pegawai-pegawai daripada JKR Daerah Johor Bahru, Johor, Ibu Pejabat JKR Johor terdiri dari HOPT dan HODT serta wakil pengguna akhir bagi bangunan ini iaitu Y.Brs. Dr. Aman Bin Rabu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor.



Projek ini menggunakan rekabentuk Pelan Am Piawai Klinik Kesihatan 3 (KK3) Teja CR. Projek ini dilaksanakan secara Konvensional Dalaman dengan harga kontrak asal sebanyak RM18,398,788.88. Projek ini dilaksanakan secara tender terbuka dan kontraktor yang berjaya adalah Hasrat Teknik (M) Sdn. Bhd. Tempoh pembinaan asal projek adalah selama 104 minggu  yang bermula pada 01 Mac 2017 hingga 24 Disember 2019. Walau bagaimanapun, kontrak ini telah diluluskan Lanjutan Masa serta berdenda dan siap sepenuhnya pada 4 Mac 2020 dengan penjimatan terhadap kos kontrak sebanyak RM 3,054,610.12.

 

Projek ini berjaya diserahkan kepada pihak pelanggan secara 4 Dalam 1 iaitu :

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 4 Mac 2020;
  2. Penyiapan As Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual (OMM);
  3. Penarafan Qlassic;
  4. Penjimatan Terhadap Kos Projek;

 

Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Kerja Raya Johor, pihak kontraktor utama iaitu Hasrat Teknik (M) Sdn. Bhd. dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak pelanggan dengan jayanya.