Date: Jumaat, Jun 14, 2024

Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi Projek Pembinaan Dan Penyiapan Hospital Pengajar Dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak (Fasa 1) telah berlangsung pada 13 Jun 2024 (Khamis) bertempat di Pusat Kesihatan Prima, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Jasmi Bin Wahab, Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas 2 selaku Pengarah Projek kepada YBrs. Encik Mohamad Azhan Bin Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi.

Majlis penyerahan projek telah disaksikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya;  YB Datuk Hajah Rubiah Binti Haji Wang Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Merangkap Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan; YBhg. Dato’ Ir. Haji Badioezaman Bin Ab Khalik, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Yang Menjalankan Tugas Ketua Pengarah Kerja Raya;  YBhg. Dato’ Ir. Dr. Balamurugan a/l A. Gopal, Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan; YBhg. Dato Ahmad Nadzri Bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak; YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak dan YBrs. Professor Doktor Ahmad Hata Rasit, Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara simbolik penyerahan projek, menerusi sesi menandatangani Dokumen Penyerahan oleh YBhg. Dato’ Ir. Jasmi Bin Wahab, Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas 2 bersama Encik Mohamad Azhan Bin Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi. Acara penyerahan replika kunci bangunan turut dilaksanakan daripada pihak kontraktor kepada Pengarah Projek; daripada Pengarah Projek kepada TKSU (PP) KPT dan seterusnya daripada TKSU (PP) KPT kepada Naib Canselor, UNIMAS.

Projek yang bernilai RM485.99juta ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh kontraktor yang dilantik; Perbena Emas Sdn Bhd. Projek ini dijalankan secara 2 fasa iaitu Fasa 1 terdiri daripada Pusat Kesihatan Prima (PKP) yang telah siap pada 2 April 2024 manakala Fasa 2 ialah Bangunan Utama Hospital Pengajar UNIMAS yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025.

Pusat Kesihatan Prima (PKP) merupakan pusat kesihatan harian yang bertujuan untuk mengendalikan kes-kes kesihatan tidak kritikal seperti fungsi klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  PKP ini juga mempunyai kemudahan seperti Bilik X-Ray, Klinik Batuk, Klinik Mata, Klinik Warga, Makmal Perubatan serta Bilik Pemeriksaan Kesihatan Awam. Selain PKP, skop utama bagi Fasa 1 yang diserahkan kepada KPT meliputi komponen bangunan seperti Surau, Creche, Kafeteria, Bangunan Mekanikal dan Elektrik serta Tangki Aras Tinggi.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan pelaksanaan projek  Fasa 1 terutamanya YBhg. Dato’ Ir. Jasmi Bin Wahab selaku Pengarah Projek, Pasukan Projek Khas 2,  Cawangan Kerja Pendidikan selaku Head Of Planning Team (HOPT), Pasukan Head of Design Team (HODT) serta kontraktor utama; Perbena Emas Sdn Bhd yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan Fasa 1 bagi projek ini.