Date: Selasa, April 5, 2022

31.03.2022 Majlis Penyerahan Projek siap kepada pihak pelanggan bagi Projek Pembinaan Masjid Baharu Kampung Sungai Bedaun, W.P. Labuan telah diadakan pada 31 Mac 2022 jam 9.00 pagi.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd. Rashid, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) kepada Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Fuad bin Apandi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan seterusnya kepada Yang Berbahagia Datuk Haji Mohd Ajib Bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Majlis penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia YB Dato’ Rozman Bin Hj. Isli, Ahli Parlimen WP Labuan, Yang Berusaha Tuan Sahari Hamdan, Ketua Penerangan Umno Bahagian Labuan yang mewakili YB Senator Datuk Haji Bashir Bin Haji Alias, YBrs. Encik Abu Bakar Bin Alias dari JAD Enterprise, pasukan JKR Labuan, pegawai HOPT, pegawai JPM dan serta pegawai-pegawai dari JAWI Labuan.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman oleh Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku Pengurus Program dan HOPT. Pasukan perekabentuk selaku HODT terdiri daripada Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam Dan Struktur Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik. Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Labuan telah diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Penguasa untuk menyelia projek ini. Projek secara tender terbuka ini telah dilaksanakan oleh kontraktor yang terpilih iaitu JAD Enterprise dengan siling peruntukan berjumlah RM 10,450,000.00 dan harga kontrak sebanyak RM 8,631,888.00 dengan penjimatan sebanyak RM 610,074.63.

Skop kerja projek ini merangkumi bangunan Masjid yang berkapasiti penuh 1000 jemaah dilengkapi dengan Bilik Imam, Bilik Azan, Bilik Mesyuarat dan Perbincangan, Bilik Penyediaan, Bilik Jenazah, Bilik Serbaguna, Pencawang Elektrik, Rumah Sampah dan Kawasan Tempat Letak Kenderaan.

Projek ini turut berjaya disiapkan secara 5 dalam 1 iaitu:

1.    Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)

2.    Lukisan Siap Bina

3.    Penyata Akaun Muktamad (SOFA)

4.    Penjimatan Kos Projek sebanyak RM 610,074.63

5.    Sifar Kemalangan Semasa Pembinaan

Syabas dan tahniah diucapkan kepada JKR Labuan selaku Pegawai Penguasa, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku Pengurus Program, barisan pakar HODT JKR, pihak JAD Enterprise dan Subkontraktor Dinamakan serta semua pihak serta agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan penyiapan projek ini.