Date: Rabu, Ogos 23, 2023

Majlis Penyerahan projek siap kepada pihak pelanggan bagi Projek Pembinaan Masjid Qaryah Sungai Nibong Besar, Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang telah berlansung dengan jayanya pada 18 Ogos 2023 (Jumaat) yang telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid, Pengarah JKR Pulau Pinang kepada  YBrs. Ir. Shaiful Azhari Bin Ahmad Ketua Penolong Pengarah Seksyen Teknikal, Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU JPM dan disaksikan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abd Rahman Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (YDP MAINPP), YBhg. Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim Bin Wan Mohd. Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YBrs. Ustaz Ajwad Bin Abdul Aziz Pegawai Tadbir Agama Daerah Timur Laut Dan YBrs. Ir. Mohd Khairulnizam Bin Mohmmed Haasan, Jurutera Daerah, JKR Daerah Timur Laut.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyerahan replika kunci yang dimulakan oleh YBrs. Tuan Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid kepada wakil Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU JPM yang kemudiannya diserahkan kepada YDP MAINPP dan seterusnya kepada pengguna akhir iaitu Pengerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar YBhg. Professor Dato' Ir. Dr. Mahyuddin Bin Ramli. 

Majlis penyerahan ini juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada Ibu Pejabat JKR Pulau Pinang dan Wakil Pegawai Penguasa Pakar JKR Pulau Pinang, Pasukan Pejabat Selia Tapak JKR Daerah Timur Laut, pegawai – pegawai dari Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU JPM, pegawai – pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat Agama Daerah Timur Laut, pegawai – pegawai dari  Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang & Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, perunding, kontraktor utama dan subkontrak - subkontraktor dinamakan serta ahli jawatankuasa masjid dan anak-anak kariah masjid.

Pada hari tersebut juga telah dibuat Perisytiharan Solat Jumaat pertama, Solat Fardhu & Aktiviti Keagamaan yang telah sempurnakan oleh YBhg. Dato YDP MAINPP.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman (In-house) di mana Bahagian Bangunan, JKR Pulau Pinang dilantik selaku Head of Project Team (HOPT) dan semua rekabentuk dibuat secara dalaman oleh Pasukan Rekabentuk JKR Pulau Pinang yang terdiri dari HODT Arkitek (Bahagian Arkitek JKR Pulau Pinang), HODT Ukur Bahan (Bahagian Kontrak & Ukur Bahan JKR Pulau Pinang), HODT Mekanikal (Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR Pulau Pinang), HODT Elektrikal (Cawangan Kejuruteraan Elektrik JKR Pulau Pinang) kecuali rekabentuk sivil dan  struktur yang dibuat oleh Perunding Sivil dan Struktur (Jurutera Perunding ANR).

Kontrak bagi projek ini telah telah ditawarkan dan dilaksanakan oleh kontraktor Cemara Binajaya (M) Sendirian Berhad yang dilantik melalui proses tender terbuka dan Pengarah JKR Pulau Pinang selaku Pegawai Penguasa Projek serta Jurutera Daerah JKR Daerah Timur Laut selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama Projek. Projek ini telah mula pembinaan pada 14 Mei 2019 dan siap sepenuhnya pada 2 Ogos 2023.

Sepanjang tempoh pelaksanaan projek, pelbagai isu dan cabaran telah dihadapi termasuklah cabaran ketika kerja-kerja pengalihan pelbagai utiliti dan cabaran menghadapi pendemik Covid-19. Namun, setiap cabaran dan dugaan yang ditempuh bukanlah menjadi batu penghalang kepada yang terlibat, malah ianya menjadi pendorong utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti, demi kesejahteraan rakyat.

Skop utama projek ini melibatkan kerja-kerja meroboh bangunan masjid sediada, pembinaan baharu masjid 3 tingkat terdiri dari dewan solat utama tingkat bawah, dewan solat tingkat 1&2 yang boleh memuatkan sehingga 1600 orang jemaah, pejabat, bilik mesyuarat, bilik imam, balai lintang, bilik pengurusan jenazah, tempat wuduk dan tandas, sebuah minaret serta parkir kenderaan.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua pasukan projek sama ada di peringkat JKR, Pelanggan, perunding dan kontraktor termasuk juga dengan pemegang taruh berkaitan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung  dalam memberikan komitmen yang sangat tinggi  sehingga berjaya merealisasikan projek ini serta dapat dimanfaatkan kepada kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar khususnya dan meningkatkan syiar Islam di kawasan setempat. Setinggi- tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan pelaksanaan Pembinaan Masjid Qaryah Sungai Nibong Besar, Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang ini.