Date: Khamis, March 16, 2017
Majlis Penyerahan Projek Siap Naiktaraf Jeti dan Bangunan Terminal, Pembinaan Bangunan CIQ dan Jeti Baru, Langkawi, Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini, Khamis 16 Mac 2017, jam 10.00 pagi di Bangunan CIQ Jeti Kuah, Langkawi.
 
Majlis telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Baharin bin Dato’ Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, YBhg Dato’ Ir Hj. Hamizan bin Mohd Inzan sebagai wakil kepada YBhg. Dato Sri Ketua Pengarah Kerja Raya, pihak pengguna, Pasukan Projek JKR, Pasukan Rekabentuk JKR, Kontraktor (Uzaimin Enterprise (Alor Setar) Sdn Bhd) serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelaksanaan projek ini.
 
Projek ini adalah berteraskan 'The Langkawi Tourism Blueprint', dengan mengiktiraf Terminal Penumpang Kuah, Langkawi sebagai 'Targeted Touch Point' bagi meningkatkan tanggapan pertama pelancong terhadap Langkawi. Terminal ini merupakan antara pintu masuk negara yang menjadi indikator penjanaan ekonomi domestik dan antarabangsa bagi perkhidmatan pengangkutan laut.
 
JKR Malaysia berasa amat berbangga kerana telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek yang menjadi tunjang negara. Projek ini mula dilaksanakan pada tahun 2013 secara konvensional dalaman, dengan kos projek sebanyak RM86.5 juta. Konsep rekabentuk bangunan adalah berteraskan 'Tropical Modern', 'Eco-tourism' dan 'Green Architecture', serta menerapkan elemen-elemen Rumah Mahsuri & Helang Kawi.
Komponen utama projek ini adalah terdiri daripada naiktaraf 2 buah jeti sedia ada, bangunan terminal dan bangunan 3 tingkat serta pembinaan baru bangunan CIQ dan jeti antarabangsa dan lain-lain bangunan sokongan serta kemudahan asas. Pembinaan projek ini telah berjaya mencapai skor IBS sebanyak 73.84%, di mana melebihi tahap yang ditetapkan iaitu 70%.
 
Melaksanakan projek di dalam keadaan tapak yang terhad, operasi terminal/ jeti yang tidak boleh dihentikan dan bilangan penumpang yang sentiasa meningkat merupakan satu cabaran yang perlu dilalui oleh pasukan projek. Berteraskan keazaman dan tekad, JKR Malaysia telah berjaya melaksanakan projek pintu masuk negara. JKR Malaysia sebagai agensi utama pelaksana projek akan terus memberi berkomitmen tinggi dalam memberi perkhidmatan teknikal negara.
 
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek JKR, Pasukan Rekabentuk JKR dan Kontraktor Uzaimin Enterprise (Alor Setar) Sdn Bhd kerana telah berjaya menyiapkan projek ini pada tarikh siap semasa dengan hasil kerja berkualiti. #jasakepadarakyat
 
Disediakan oleh :
Bahagian Maritim
Cawangan Kejuruteraan Intrastruktur Pengangkutan, JKR Malaysia