Date: Khamis, Julai 25, 2019

Majlis Penyerahan Projek Siap PEMBINAAN LAPANG SASAR TERTUTUP JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA DENGKIL, SELANGOR telah diadakan pada 24 Julai 2019 (Isnin) bertempat di Bangunan Lapang Sasar Dengkil, Selangor.

Majlis penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ar. Zairul Azidin Bin Badri dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Seri Paddy Bin Abd Halim (Ketua Pengarah Kastam Malaysia), YBhg. Datuk Ir. Muhammad Azman Bin Jamrus (Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1), YBhg. Datuk Ir. Ruslan Bin Abdul Aziz (Pengarah JKR Negeri Selangor), Pegawai–Pegawai Kanan dari Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta pihak kontraktor.

Projek Pembinaan Lapang Sasar Tertutup ini dilaksanakan secara konvensional dalaman JKR dan perolehan dibuat secara tender terbuka dengan siling kontrak berjumlah RM4,460,000.00. Kontraktor yang berjaya dilantik adalah Jasa Muafakat Sdn. Bhd. dengan kos kontrak bernilai RM3,935,394.47 dan tempoh pembinaan adalah selama 72 minggu .

Skop projek ini melibatkan Pembinaan lapan (8) lorong Lapang Sasar Tertutup lengkap dengan ciri-ciri keselamatan dan piawaian yang ditetapkan termasuk Bilik Kawalan Utama di Aras 1 bangunan sedia ada, kerja ubahsuai ruang pejabat baru di Aras Bawah bangunan termasuk Bilik Simpanan Senjata, Stor Peluru dan Kaunter Serahan Senjata, penyediaan Bilik Menunggu, Ruang Taklimat dan Bilik Persalinan, serta Kerja-kerja sokongan sistem mekanikal dan elektrikal termasuk sistem hawa dingin, CCTV dan kad akses.

Projek ini dikategorikan sebagai kriteria siap TIGA (3) DALAM SATU (1) iaitu;

i.          Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 13 Jun 2019;

ii.         Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA); dan

iii.        Penyiapan As Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual.


JKR selaku agensi pelaksana Kerajaan memikul amanah rakyat demi memenuhi aspirasi Kerajaan dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan mengikut kos dalam tempoh yang ditetapkan. Penyerahan projek ini merupakan kesinambungan pencapaian projek-projek yang dilaksanakan oleh JKR dalam usaha untuk menyediakan prasarana yang selesa, kondusif dan canggih seiring dengan keperluan pihak pelanggan.

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH diucapkan kepada Cawangan Kerja Bangunan 1, HODT JKR, JKR Negeri Selangor, JKR Daerah Sepang, pihak kontraktor projek dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya. Syabas!