Majlis Penyerahan Projek Kompleks Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) Wilayah Persekutuan Labuan ini telah berlangsung dengan jayanya pada 02 Disember 2019 (Isnin) bertempat di Bangunan Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Membidai, Wilayah Persekutuan Labuan.
Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Muhammad Azman bin Jamrus, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Majlis lebih berseri dengan kehadiran YBrs. Tuan Kamarudin bin Abdul Rani, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia bagi sesi menandatangani sijil penyerahan projek di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pasukan projek dari JKR Malaysia serta JKR WP Labuan. Turut hadir memeriahkan majlis adalah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia, BERNAMA, Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan juga kontraktor utama, Projadi Sdn. Bhd. dan kontraktor-kontraktor yang dinamakan.
Projek Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia WP Labuan ini dilaksanakan oleh Kontraktor Utama dari Projadi Sdn. Bhd. Projek ini mula dibina pada 11 Julai 2016 dan telah disiapkan pada 18 November 2019 dengan kos projek keseluruhan sebanyak RM9,475,170.14 iaitu penjimatan sebanyak RM65,771.14.
Pelaksanaan pembinaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman, iaitu dengan menggunakan kepakaran Arkitek dan Jurutera JKR WP Labuan. Konsep rekabentuk bangunan adalah berteraskan kepada nilai identiti setempat, mesra kepada rakyat, penjimatan tenaga elektrik dan menerapkan sistem susun atur pejabat secara terbuka yang memberikan pencahayaan semulajadi yang maksima. Projek ini juga telah berjaya mencapai pemarkahan QLASSIC sebanyak 64% yang mana QLASSIC adalah merupakan satu kaedah mengukur dan menilai kualiti kerja pembinaan berdasarkan Construction Industry Standard (CSI 7) oleh CIDB.
Pembangunan Kompleks KKMM yang berkeluasan 4,789 meter persegi ini dilengkapi dengan beberapa komponen utama iaitu :-
- Bangunan pejabat dua (2) tingkat yang menempatkan Jabatan Penerangan Malaysia di aras satu (1) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) serta pejabat BERNAMA di aras dua (2).
- Kemudahan Sokongan seperti :
- Menara Tangki Air setinggi 22.5 meter
- Rumah Sampah
- Tiga Unit Binaan Wakaf ; dan
- Pondok Pengawal
Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 3 dalam 1 iaitu:
i. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 18 November 2019;
ii. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA); dan
iii. Penyiapan As Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual
Matlamat utama pembinaan kompleks ini adalah untuk menyediakan ruang dan kemudahan kepada pengunjung untuk berinteraksi dengan warga Kementerian mahupun Jabatan apabila aktiviti berkaitan agensi diadakan. Selain itu, dengan keluasan bangunan 4,789 meter persegi ini pastinya dapat memberi persekitaran kerja yang lebih kondusif dan selesa kepada kakitangan mahu pun pengunjung yang datang.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1, JKR W.P Labuan, pihak kontraktor utama iaitu Projadi Sdn. Bhd., kontraktor-kontraktor yang dinamakan dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.
Berita oleh :
Bahagian Pengurusan Projek 5
Cawangan Kerja Bangunan Am 1
- 1128 bacaan