Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah berjaya menyiapkan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria Tersambung Grid di bangunan-bangunan kerajaan bagi JKR Selangor, Wisma Pertahanan Malaysia & Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN). Majlis penyerahan projek siap ini telah diadakan pada 24 Februari 2025, pada jam 3.00 petang di Dewan Anggerik, Ibu Pejabat JKR Selangor, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Penyerahan projek ini adalah mercu tanda pelaksanaan projek berteknologi hijau bagi memacu peralihan tenaga negara dalam menyokong usaha dan dasar kerajaan berhubung pelepasan karbon sifar bersih (net zero emission) menjelang tahun 2050 ke arah merealisasikan Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap -NETR) serta inisiatif penjimatan bil elektrik bangunan-bangunan kerajaan.
Majlis Penyerahan projek ini diadakan dengan jayanya dan telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi , Menteri Kerja Raya. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar & Pembangunan, Kementerian Kerja Raya; YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya; YBrs. Dr. Afiza binti Idris, Pengarah Bahagian Tenaga, Kementerian Ekonomi; YBrs. Ir. Noor Ashikin binti Md. Tamimi, Pengarah Perkhidmatan Pakar, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Ibu Pejabat JKR Malaysia; YBrs. Tn. Ir. Hj. Shukri bin Ishak, Pengarah JKR Negeri Selangor; YBrs. Ts. Mohd Idham bin Mohammad, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Pasaran, SEDA Malaysia, pegawai-pegawai daripada Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, JKR Selangor, pejabat HOPT dan HODT serta pihak kontraktor.
Pelaksanaan projek secara tiga (3) kontrak berasingan ini dilaksanakan secara konvensional dalaman oleh CKE selaku Head of Project Team (HOPT) dan Pengarah Perkhidmatan Pakar, CKE sebagai Pegawai Penguasa. Projek berteknologi hijau ini diterajui oleh Kementerian Ekonomi selaku pemilik inisiatif manakala SEDA Malaysia bertindak sebagai Koordinator Projek.
Skop utama projek melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem Solar Photovoltaic (PV) Tersambung Grid (Grid Connected PV System -GCPV) di atas bumbung (roof-top) dan carporch di bawah skim Net Energy Meter (NEM) atau Pemeteran Tenaga Bersih.
Jumlah kapasiti pemasangan Sistem Fotovolta Suria di Bagunan Kerajaan tersebut adalah sebanyak 1.51 MegaWatt Peak dengan potensi penjanaan tenaga elektrik 1.85 GigaWatt hour (GWh) setahun, bersamaan dengan pengurangan gas karbon 1,430 tan metrik setahun. Anggaran penjimatan bil elektrik Kerajaan pula dijangka sebanyak RM675,000.00 setahun, merupakan penjimatan segera yang bakal dinikmati oleh Kerajaan dalam bentuk pengurangan perbelanjaan kos utiliti.
Projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh lapan bulan daripada Tarikh Milik Tapak bagi setiap projek. Sijil Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan secara berasingan iaitu pada 28 November 2024 bagi premis KDN, 17 Disember 2024 bagi Wisma Pertahanan Malaysia dan 20 Januari 2025 bagi JKR Selangor. Penyerahan projek ini merupakan sebuah kejayaan dan menjadi penanda aras pelaksanaan projek berteknologi hijau yang dapat memacu inisiatif peralihan tenaga negara.
Semasa memberikan ucapan, YBhg. Datuk Wira KPKR turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada keseluruhan Pasukan Projek yang menjadi peneraju utama serta berjaya mengurus, memantau dan menyelia pelaksanaan projek ini sehingga projek dapat disiapkan dengan jayanya. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kontraktor utama bagi kedua-dua premis kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan penuh dedikasi dan berkomited sejak dari mula pembinaan sehingga ke tarikh penyerahan pada hari ini.
Bersempena dengan majlis penyerahan projek ini juga, YB Menteri Kerja Raya dan KPKR turut meluangkan masa menanam Pokok Chinese Fig (Ficus Microcarpa Bonsai) sebagai tanda kenangan di Ruang Landskap Bangunan Ibu Pejabat JKR Selangor.
Syabas & tahniah kepada semua pihak serta agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan penyiapan projek ini.
“Melastarikan Bangunan Kerajaan Dengan Tenaga Hijau”
Berikut dikongsikan video berkaitan majlis untuk makluman semua warga JKR Malaysia.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 293 bacaan