Date: Rabu, Ogos 7, 2019

Majlis penyerahan projek siap bagi PROJEK PUSAT DISCOVERY GEOPARK, KILIM, LANGKAWI (REKA & BINA) telah diadakan pada 4 Ogos 2019 (Ahad) bertempat di Bangunan Pusat Discovery Geopark, Kilim, Langkawi pada jam 2.30 petang.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ar. Zairul Azidin Bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) dan turut dihadiri oleh YBrs. Encik Jazmanie Bin Shafawi, (Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri), YBrs. Encik Azmil Munif Bin Mohd Bukhari (Pengurus Bahagian Geopark dan Konservasi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), YBrs. Encik Shazali Bin Samsudin (Yang Menjalankan Tugas Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1), YBrs. Tuan Haji Ibrahim Bin Ahmad (Pengarah JKR Negeri Kedah), Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Jabatan Kerja Raya Malaysia serta pihak kontraktor.

Projek Pembinaan Pusat Discovery Geopark, Kilim, Langkawi ini dilaksanakan secara Reka & Bina oleh Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn. Bhd. & President Sign Sdn. Bhd. Projek ini mula dibina pada 13 Jun 2016 dan telah disiapkan pada 31 Julai 2019 dengan kos sebanyak RM15,999,999.00.

Pusat Discovery Geopark ini terdiri daripada dua (2) komponen utama iaitu :-

  1. Pembinaan bangunan dua (2) tingkat yang mengandungi ruang-ruang pameran dan Pejabat; dan
  2. Ruang pameran yang dilengkapi dengan paparan berteknologi tinggi serta media persembahan yang akan menyediakan maklumat terkini dan berinformasi kepada keperluan penyelidik dan orang awam yang ingin tahu berkenaan dengan Langkawi Geopark.

Matlamat utama Pusat Discovery Geopark Langkawi dibina adalah untuk mempersembahkan warisan sejarah dan keunikan Pulau Langkawi sebagai pusat pelancongan berdasarkan konsep “Making The Past Present For The Future”. Dengan terbinanya pusat ini ianya memberikan nilai tambahan di dalam penilaian semula status pengiktirafan UNESCO Geopark.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1, HODT, JKR Negeri Kedah, JKR Daerah Langkawi, pihak kontraktor utama iaitu Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn. Bhd. & President Sign Sdn. Bhd. dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.

Berita oleh :
Bahagian Pengurusan Projek 5
Cawangan Kerja Bangunan Am 1