Date: Isnin, Mei 22, 2017

Tanggal 20 Mei 2017, Projek Velodrom Nasional Malaysia telah diserahkan kepada pelanggan kami, iaitu; Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Velodrom Nasional ini merupakan salah satu venue baru dan satu-satunya velodrom tertutup bagi sukan berbasikal di Malaysia yang akan digunakan pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia kepada wakil KBS, iaitu; Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan YBrs. Encik Nik Abd Kadir bin Nik Mohammad. Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh Timbalan SUK Negeri Sembilan, Dato' Hasnol Mohamad, CEO KL 2017 Dato' Seri Zolkples Embong, Ketua Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negara Dato' Ahmad Shapawi Ismail, Timbalan KPKR (Sektor Bangunan) En. Kamaluddin Hj. Abd Rashid, Pengarah CKBA2 Hjh. Hashimah Harun, Pengarah JKR Negeri Sembilan Dato' Abd Karim Mohd Tahir, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Dato' Amarjit Singh, Pengarah-pengarah Cawangan JKR, serta wakil2 dari ICU, MOF, dan EPU.

Projek yang menelan belanja hampir 80 juta ini mula dibina pada 15 Januari 2015 oleh kontraktor Blackfox Engineering Sdn. Bhd. secara Reka & Bina. Skop pembinaan adalah menyediakan kemudahan Trek Basikal sepanjang 250 meter dengan kategori 1 Union Cyclist Internationale (UCI) menggunakan kayu jenis Siberian Spruce, bilik-bilik pejabat, 10 buah hostel yang mampu memuatkan 20 atlit dalam satu masa, ruang persalinan atlit, gymnasium, royal hospitality box (sky box), bilik sidang media, surau dan lain-lain kemudahan asas velodrom.

Sekretariat Sukan SEA 2017 melalui KBS telah mengarahkan JKR untuk membina sebuah trek sukan lasak berbasikal BMX bersebelahan dengan kompleks velodrom yang pertama di Malaysia. Trek ini telah diiktiraf oleh badan berbasikal dunia UCI dan mengumumkan sukan BMX sebagai salah satu acara sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2017 KL pada bulan Ogos nanti.

Seluruh warga Jabatan Kerja Raya berbangga kerana JKR telah diberikan mandat menjadi agensi pelaksana bagi salah satu prasarana bertaraf dunia ini yang telah disempurnakan dengan begitu baik sekali sehingga diakui sendiri oleh Juara Keirin Dunia 2017 sebagai antara yang terbaik di dunia setelah mengujinya. Majlis penyerahan ini juga adalah merupakan kejayaan penyerahan projek secara 3 dalam 1, iaitu; penyerahan projek bersama-sama Lukisan Pembinaan Siap (As Build Drawings), Perakuan Akaun Muktamad (SOFA) dan Manual Operasi secara serentak.