Date: Rabu, Jun 17, 2020

Sesi Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Projek Central Spine Road, Pakej 3 : Gua Musang, Kelantan Ke Kg. Relong, Pahang Seksyen 3B & 3C: KM180.5 FT08 Ke Bulatan Gua Musang dan Seksyen 3J : Kg. Seberang Jelai Ke Kg.Relong telah berlangsung pada hari Selasa, 16 Jun 2020 di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 5 (Blok F), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Sesi penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YBrs Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz, Pengarah Kanan Cawangan Jalan,  kepada kontraktor yang berjaya iaitu IDX Multi Resources Sdn. Bhd. bagi projek Seksyen 3B & 3C : KM180.5 FT08 Ke Bulatan Gua Musang dan  Menang Idaman Sdn. Bhd. bagi projek Seksyen 3J : Kg. Seberang Jelai Ke Kg. Relong. Projek dengan panjang jajaran sepanjang  7.0 kilometer bagi Seksyen 3B & 3C dan 6.95 kilometer bagi Seksyen 3J ini merupakan sebahagian fasa pembinaan Pakej 3 : Gua Musang, Kelantan Ke Kg. Relong, Pahang yang menghubungkan Seksyen 3D : Bulatan Gua Musang Ke Mentara dan Pakej 4 : Kg. Relong Ke Raub, Pahang.

HOPT bagi projek ini adalah Bahagian Pengurusan Projek ECER, Cawangan Jalan manakala Ir. Mohamed Talmizi bin Mohd Yusoff, Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Unit Projek Khas ECER 1, Cawangan Jalan dilantik sebagai Pegawai Penguasa bagi kedua-dua projek ini. Tempoh siap bagi kedua-dua projek ini adalah selama 156 minggu dengan tarikh milik tapak pada 29 Jun 2020 dan tarikh siap pada 29 Jun  2023.

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti & tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.

 

Berita oleh;
Bahagian Pengurusan Projek ECER
Cawangan Jalan