Date: Selasa, March 1, 2022
Satu majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Dokumen Kontrak serta penyerahan Surat Lantikan Pegawai Penguasa (PP) bagi Projek Pembinaan Kastam Pulau Pinang dan Projek Pembinaan Blok Tambahan Kastam Kangar, Perlis telah diadakan pada 28 Februari 2022 bertempat di bilik Mesyuarat Cenderawasih, Tingkat 13A, Menara PJD pada jam 10 pagi.
 
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan CKBA1, Puan Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd Rashid dengan dihadiri oleh wakil pihak pelanggan dari Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) YBrs. En.  Muhammad Herman bin Manaf, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) YBrs. Tuan Kamsani bin Kamaruddin, Pengarah JKR Pulau Pinang Ir. Ahmad Nadzri bin Abdul Majid dan pihak kontraktor. Majlis penyerahan SST ini juga turut dihadiri oleh Pengarah JKDM Perlis dan wakil Pengarah JKDM Pulau Pinang serta pegawai JKR dari pasukan HOPT dan HODT yang terlibat.
 
Projek Pembinaan Kastam Pulau Pinang adalah projek di bawah Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia. Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 Rolling Plan Ke Empat Tahun 2020 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 45 juta dikawal selia oleh Pengarah JKR Negeri selaku Pegawai Penguasa. Syarikat SBAR Bina Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama dan Tarikh Milik Tapak adalah pada 14 Mac 2022 manakala Tarikh Siap adalah pada 9 Mac 2025 yang mana tempoh kontraknya adalah selama 156 minggu iaitu bersamaan 3 tahun.
 
Bagi projek Pembinaan Blok Tambahan Kastam Kangar, Perlis telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 1 dengan Kos Siling Peruntukan sebanyak RM 35 juta dikawal selia oleh Pengarah JKR Negeri selaku Pegawai Penguasa. Syarikat Pembinaan Maju Tekad Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama dan Tarikh Milik Tapak adalah pada 14 Mac 2022. Tarikh Siap pula pada 9 Mac 2025 yang mana tempoh kontraknya adalah selama 156 minggu iaitu bersamaan 3 tahun.
 
Kaedah perlaksanaan bagi kedua-dua projek ini adalah secara Konvensional Dalaman oleh Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) selaku Head Of Project Team (HOPT) bersama pasukan HODT JKR yang lain.
 
Projek Kastam Kangar telah dilaksanakan oleh pihak JKR dengan adaptasi Building Information Modelling (BIM) di mana Bangunan Stor Rampasan telah dipilih untuk dilaksanakan sehingga mencapai tahap perincian Level of Development (LOD) 500.
 
Alhamdulillah, diharap kejayaan penyerahan SST pada hari ini dapat dijadikan semangat kepada semua pihak dalam urusan pelaksanaan projek seterusnya.
 
Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang ditetapkan. Tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat untuk memastikan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak secara 2 in 1 bagi kedua-dua projek ini dapat diserahkan pada hari ini. Ini adalah merupakan satu inisiatif JKR didalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan bagi memastikan pelaksanaan projek dengan lebih efisien.
 
JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek-projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan dalam kontrak.