Date: Jumaat, Mei 12, 2023

Seiring dengan pendekatan Malaysia MADANI, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menggerakkan inisiatif RAHMAH yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu memperbaiki dan menggantikan mentol lampu jalan yang rosak di sepanjang Jalan Persekutuan yang diselenggara oleh pihak JKR.

Usaha murni ini diwujudkan atas dasar keprihatinan terhadap peningkatan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Malaysia. Lantaran itu, ‘Tabung Rahmah Mentol Lampu Jalan’ diwujudkan bagi mengutip sumbangan ikhlas dari warga JKR seluruh negara.

Antara tujuan utama pelancaran tabung ini adalah untuk:

  1. Membantu menyalurkan sumbangan tambahan bagi penggantian mentol lampu di Jalan Persekutuan
  2. Menunjukkan sikap keprihatinan warga JKR Malaysia dalam mendepani isu-isu melibatkan jalan JKR
  3. Membantu percepatkan usaha-usaha penukaran kerosakan mentol lampu jalan.

Majlis Penyerahan Sumbangan Ikhlas Tabung Rahmah Mentol Lampu Jalan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool kepada Ketua-Ketua Jurutera Elektrik Negeri yang terlibat pada 11 Mei 2023 bertempat di Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Malaysia.

Cawangan Kejuruteraan Elektrik yang diketuai oleh Pengarah Kanan, Ir. Hanizan Binti Shaffi selaku Penyelaras telah berjaya membeli sejumlah 66 bilangan mentol lampu jalan berkadaran 250 Watt hasil sumbangan Tabung Rahmah ini. Walaupun keperluan sebenar adalah jauh lebih tinggi namun inisiatif permulaan ini boleh menjadi pemangkin dalam usaha membantu pihak kerajaan memperkasa slogan Malaysia Madani.

Terima kasih diucapkan kepada seluruh warga Jabatan Kerja Raya yang telah menyumbang kepada Tabung Rahmah ini demi memastikan jalan raya persekutuan sentiasa berfungsi dengan baik sebagai kemudahan kepada rakyat.